JIM Serah Kepada SPRM Siasat Lima Pegawai Terlibat Sindiket

21/08/2024 09:08 PM

PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengalu-alukan tindakan penahanan lima pegawai jabatan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam dan menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan lanjut.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata pihaknya juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil.

 Beliau berkata JIM tidak akan berkompromi serta melindungi mana-mana pegawai yang melakukan pelanggaran integriti seperti salah guna kuasa dan rasuah sama ada di pintu masuk negara atau mana-mana Pejabat Imigresen di seluruh negara hingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan serta negara.

“Tindakan dan hukuman yang berat akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk tindakan buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah. 

“JIM serius dan komited dalam memastikan integriti pegawai jabatan ini sentiasa berada di tahap maksimum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ruslin mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan salah laku pegawai Imigresen seperti penyelewengan, salah guna kuasa, kesalahan tatatertib dan rasuah melalui talian 03-8880 1246, e-mel aduanintegriti@imi.gov.my atau hadir sendiri ke Aras 4, Bahagian Integriti, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya di sini.

Hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata pihaknya berjaya membongkar sindiket yang membawa masuk warga asing ke negara ini, susulan penahanan 12 individu menerusi Op Pump yang dijalankan SPRM di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan semalam.

Turut dilaporkan, mereka yang ditahan termasuk empat pemilik syarikat, tiga orang awam yang dipercayai menguruskan kemasukan warga asing dan lima penguat kuasa yang bertugas di KLIA Terminal 2.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan