AM > BERITA

Malaysia Gesa APEC Bantu Atasi Kelaparan, Kebuluran Penduduk Palestin

21/08/2024 09:12 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menggesa Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) untuk mengambil tindakan segera bagi  membantu mengatasi masalah kelaparan dan kebuluran yang melanda Palestin ketika ini.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan malam ini memaklumkan gesaan Mohamad itu dibuat susulan krisis kemanusiaan dan keterjaminan makanan, terutama yang menjejaskan golongan kanak-kanak di Gaza

“Beliau turut memaklumkan inisiatif terkini yang telah diambil Malaysia dengan membawa 127 rakyat Palestin ke Malaysia untuk menjalani rawatan kesihatan atas dasar kemanusiaan,” menurut kenyataan itu.

Mohamad mengetuai delegasi Malaysia ke The Ninth Asia Pacific Economic Cooperation Food Security Ministerial Meeting (The 9th FSMM) di Trujillo, Peru pada 18 Ogos lepas.

KPKM berkata beliau mewakili Malaysia, yang merupakan satu daripada 21 ekonomi APEC di samping Amerika Syarikat, Australia, Brunei Darussalam, Chile, Republik Rakyat China, Filipina, Hong Kong, Republik Indonesia, Jepun, Kanada, Republik Korea, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Rusia, Singapura, Chinese Taipei, Thailand dan Vietnam yang telah hadir ke mesyuarat berkenaan.

Kenyataan itu berkata agenda utama The 9th FSMM meliputi pengukuhan komitmen ekonomi APEC dalam memartabatkan dan meneruskan usaha ke arah kestabilan dan keterjaminan makanan di rantau Asia-Pasifik.

Menurut kenyataan itu Menteri Pertanian dan wakil Menteri daripada ekonomi APEC telah merumus dan mempersetujui dokumen Trujilo Principles for Preventing and Reducing Food Loss and Waste (Trujilo Principles) serta Deklarasi Menteri Pertanian Ekonomi APEC Trujilo berhubung isu keterjaminan makanan.

Dokumen Trujilo Principles memberi panduan kepada 21 ekonomi APEC dalam usaha menyokong pembangunan mampan sistem makanan, dan komitmen memulihara alam sekitar bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG).

Dokumen berkenaan merupakan pelengkap kepada dokumen Food Security Roadmap Towards 2030 yang dibangunkan pada tahun 2021 semasa The 6th FSMM.

“Mohamad telah menyatakan sokongan penuh Malaysia terhadap dokumen Trujilo Principles serta penghargaan kepada semua ekonomi APEC atas usaha kolektif dalam memuktamadkan dokumen tersebut semasa mesyuarat tahun ini,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan