AM > BERITA

Penutupan SUKMA: Polis Tutup Beberapa Laluan Ke Stadium

22/08/2024 12:50 PM

KUCHING, 22 Ogos (Bernama) -- Beberapa laluan menuju ke Stadium Perpaduan Sarawak akan ditutup mulai 3 petang Sabtu ini bagi memastikan kelancaran trafik sempena upacara penutupan rasmi Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Ketua Polis Daerah Kuching Mohd Farhan Lee Abdullah berkata orang ramai dinasihatkan menggunakan laluan alternatif yang dikhaskan untuk ke tempat letak kenderaan awam berhampiran stadium.

Beliau berkata antara 12 lokasi yang ditutup adalah di bulatan Sesco, bulatan Kesuma Resort, persimpangan Sumber Alam ke Stadium Perpaduan, simpang masuk ke Stadium Perpaduan dari Jalan Stadium dan Jalan Diplomatik, jalan masuk ke Pusat Akuatik Pandelela Renong, Jalan Padang Gasing, lorong masuk ke tempat letak bas dan Jalan Stadium menuju ke simpang parkir awam.

“Orang ramai dinasihatkan menggunakan laluan alternatif ke tempat letak kenderaan awam yang telah dikhaskan iaitu dari arah bulatan Sesco, buat pusingan U di bulatan Casuarina kemudian melalui jalan tersebut untuk masuk ke simpang Jalan Stadium.

“Kenderaan yang melalui Jalan Diplomatik boleh terus ke kawasan tempat letak kenderaan di belakang Stadium Sarawak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Farhan berkata selepas acara penutupan tamat, orang ramai dinasihatkan keluar melalui Jalan Diplomatik menghala ke Demak serta melalui Jalan Stadium (Ring) menuju Jalan Casuarina.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan di sepanjang bahu jalan serta merancang perjalanan dengan memilih laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan