AM > BERITA

Lebih RM40 Juta Baik Pulih Kuarters, Bangunan Polis Kontinjen Perak

23/08/2024 02:28 PM

LENGGONG,  23 Ogos (Bernama) --  Sebanyak RM40.21 juta diperuntukkan kerajaan Persekutuan untuk Polis Kontinjen Perak bagi kerja-kerja baik pulih kuarters serta pembaikan bangunan dan fasiliti.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata daripada jumlah itu, RM25.26 juta adalah bagi pembaikan dan penyelenggaraan 844 unit kuarters di 90 lokasi di seluruh negeri. 

"Sebanyak RM4.23 juta pula bagi pembaikan empat unit lif di kuarters Ibu Pejabat Polis (IPD) Sungai Siput dan penggantian tujuh unit lif di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan IPD Taiping.

"Kerja-kerja ini dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya selaku agensi pelaksana yang mana 18 lokasi telah disiapkan, 51 lokasi lagi dalam peringkat pelaksanaan manakala 23 lokasi di peringkat perolehan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau kerja-kerja pembaikan kuarters di Balai Polis Lenggong di sini hari ini.

Azizi berkata peruntukan berjumlah RM10.72 juta pula disediakan bagi kerja-kerja pembaikan bangunan dan fasiliti serta perolehan aset di 61 lokasi, antaranya mengecat semula bangunan IPK Perak, IPD Kuala Kangsar dan IPD Pengkalan Hulu.

Beliau berkata turut dibaik pulih bangunan pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, IPK Perak yang terbakar dan pembinaan semula pagar dan pos pengawal IPD Tapah yang roboh akibat kemalangan jalan raya iaitu kedua-dua kejadian berlaku tahun lepas.

Azizi berkata pihaknya merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan, Kementerian Dalam Negeri serta barisan kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas keprihatinan meluluskan kesemua peruntukan berkenaan.

Menurutnya peruntukan yang diluluskan itu bukan sahaja memberikan manfaat dan keselesaan kepada warga PDRM yang bertugas tetapi juga masyarakat yang berurusan di lokasi terlibat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan