AM > BERITA

AKKP Bukan Mahu Menghukum Majikan - Sim

23/08/2024 03:54 PM

BUKIT MERTAJAM, 23 Ogos (Bernama) -- Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 (Pindaan) 2022 yang dikuatkuasakan sejak 1 Jun lepas bukanlah bersifat untuk menghukum, sebaliknya bertujuan memastikan semua pekerja di negara ini dapat bekerja di persekitaran kerja yang selamat, sihat, kondusif dan produktif, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Beliau berkata pihaknya mengambil maklum kekhuatiran dibangkitkan oleh majikan yang menganggap penalti maksimum RM500,000 jika berlaku pelanggaran terhadap pindaan akta itu sebagai membebankan.

“Ingin saya tegaskan bahawa fokus kita bukan untuk menghukum dan mendenda, tetapi memastikan keselamatan di tempat pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Majlis Penyerahan Pensijilan Pertubuhan Antarabangsa untuk Piawaian (ISO) di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi NIOSH Chong Chieng Jen. 

Bagi memastikan aspek kebajikan pekerja terpelihara, Sim berkata Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melalui NIOSH menyediakan khidmat percuma dikenali sebagai Analisis Penambahbaikan Tempat Kerja atau ‘Workplace Improvement Need Analysis’ (WINA) kepada syarikat serta majikan berminat untuk membantu mereka membuat penilaian sama ada tempat kerja mereka mematuhi keperluan AKKP.

Pada majlis berkenaan beliau turut melancarkan tiga passport keselamatan yakni NIOSH Jabil Safety Passport (NJSP), NIOSH AT&S Safety Passport (NATSP) serta NIOSH Ibiden Safety Passport (NISP), dan menyampaikan pensijilan ISO daripada NIOSH Certification Sdn Bhd (NIOSHCert) kepada Penang Port Sdn Bhd dan Universiti Sains Malaysia (USM). 

Sim berkata pengurusan Penang Port berjaya memperolehi pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMS), Sistem Pengurusan Kualiti (QMS), Sistem Pengurusan Alam Sekitar (EMS) dan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) manakala USM menerima pensijilan QMS.

 Beliau berkata pencapaian cemerlang Penang Port amat penting kerana ia berperanan sebagai tonggak utama perdagangan antarabangsa dan menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang secara khususnya, dan Malaysia secara amnya.

Pada masa yang sama, beliau berkata kejayaan pihak pengurusan USM memperoleh pensijilan QMS membuktikan bahawa USM bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi turut memberikan fokus terhadap kecemerlangan kualiti perkhidmatan yang diberikan.

“Saya berharap pencapaian USM ini akan menjadi pendorong kepada institusi pengajian tinggi yang lain untuk turut mendapatkan pensijilan ISO yang mampu meletakkan mereka sebaris dengan pelbagai institusi cemerlang di peringkat antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan