EKONOMI > BERITA

Syarikat Malaysia Catat Jualan Eksport RM12.88 Juta Di India

23/08/2024 06:05 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Pengeksport Malaysia mencatatkan jualan RM12.88 juta pada Integrated Electronics and Manufacturing Interconnections (IEMI) 2024 di Bengaluru, India yang berlangsung dari 29 hingga 30 Julai lalu.

Pada acara itu, the Institute of Printed Circuits (IPC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bersama-sama menyelaras pertemuan dan sesi pembentangan dengan rakan kongsi asing untuk meneroka peluang eksport baharu.

MATRADE dalam satu kenyataan hari ini berkata peserta global dalam industri pembuatan semikonduktor dan elektronik menunjukkan minat yang mendalam untuk bekerjasama dengan syarikat Malaysia bagi mengembangkan pangkalan pembekal mereka.

“Dipenuhi mesyuarat yang produktif, Pavilion Malaysia mempamerkan pelbagai keupayaan enam pengeksport Malaysia termasuk penyelesaian proses pembersihan, kemasan logam dan aplikasi pembungkusan lanjutan, kerja logam dan acuan suntikan plastik, pembuatan elektronik serta alat ganti dan komponen untuk jentera.

“Daripada jumlah RM12.88 juta jualan eksport yang direkodkan, RM5.71 juta jualan direalisasikan untuk mendapatkan sumber kitar semula logam dan perkhidmatan pengurusan e-sisa,” katanya.

Sesi pertemuan dan ‘pitching’ (pembentangan pelan perniagaan) di Bengaluru adalah kesinambungan IEMI 2024 yang turut diadakan the Setia Spice Convention Centre di Pulau Pinang dari 24 hingga 25 Julai lepas.

Dengan kerjasama IPC, lebih 200 pemadanan perniagaan telah diatur antara pengeksport Malaysia dan 29 pembeli asing dari Singapura, Vietnam, Filipina, Australia, Hong Kong, Jepun, Sepanyol, Afrika Selatan, Mesir dan India sempena IEMI 2024.

MATRADE menyifatkan perkongsiannya dengan IPC tahun ini tepat pada masanya untuk membolehkan Malaysia meneroka pasaran semikonduktor India yang dijangka berkembang kepada US$79 bilion (US$1=RM4.37) pada tahun 2031.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata sebagai rakan kongsi utama acara itu, agensi itu bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan industri antarabangsa seperti IPC untuk membuka peluang eksport baharu bagi syarikat Malaysia khususnya dalam bidang pertumbuhan utama iaitu reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan cip termaju dan pembuatan peralatan.

“Melalui inisiatif ini, pengeksport Malaysia didedahkan kepada teknologi terkini dan amalan perniagaan terbaik. Ini juga mengukuhkan objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif IPC-India Gaurab Majumdar berkata kerjasama itu memainkan peranan penting dalam mempamerkan peluang eksport Malaysia melibatkan perusahaan kecil dan sederhana terutamanya melalui Pavilion Malaysia di acara IEMI tersebut.

“Pavilion itu bukan sahaja mempamerkan industri elektronik dinamik negara tetapi juga memupuk hubungan perdagangan lebih kukuh antara Malaysia dan India.

"Kami berharap dapat meneruskan perkongsian bermanfaat ini dan mengukuhkan lagi hubungan ekonomi antara negara," katanya.

IPC ialah persatuan industri bukan berasaskan keuntungan global yang beribu pejabat di Illinois, Amerika Syarikat, ia mempunyai pejabat di Washington DC, Atlanta, Miami, Jepun, Thailand, India, Jerman dan Belgium.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan