AM > BERITA

Pencarian Mangsa Tanah Jerlus Diteruskan Di Sepanjang Saluran Kumbahan Bawah Tanah

24/08/2024 01:23 AM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India menggunakan strategi baharu dengan dua penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) memasuki saluran kumbahan milik syarikat Indah Water Konsortium (IWK).

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Nordin Pauzi berkata jika sebelah pagi tadi operasi SAR lebih tertumpu di kawasan mangsa dilaporkan terjatuh namun malam ini, pencarian dilakukan di sepanjang jajaran paip kumbahan syarikat utiliti itu.

“Pencarian awal sebelum ini kita menggunakan jentera berat kerana mengambil kira keadaan cuaca sebab kita juga kena mempertimbang risiko lain termasuk nyawa penyelamat, sebab itu ia mengambil sedikit masa.

“Setakat ini, (mangsa) tidak dapat dikesan walapun selepas penggalian dilakukan dan kita membersihkan tanah dengan menggunakan ekskavator. Jadi, malam ini kita akan teruskan untuk masuk dalam saluran kumbahan IWK dengan menggunakan unit skuba,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lokasi insiden lewat malam ini. Hadir sama meninjau lokasi insiden tanah jerlus ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.

Nordin berkata walaupun takungan air tidak dalam, khidmat unit skuba terpaksa digunakan kerana terdapat air bertakung manakala saluran kumbahan terbabit hanya berkeluasan 1.5 meter.

Beliau berkata saluran itu diperbuat daripada konkrit namun terdapat sedikit pecahan menyebabkan wujud kemungkinan ada lubang masuk ke saluran tersebut.

“Sekiranya mangsa termasuk ke dalam saluran ini, kita akan berhubung dengan IWK kerana aliran air berdasarkan graviti adalah sehala. Jadi, kita kena tahu perangkap tertentu (yang terdapat) sepanjang saluran ini dan ada kemungkinan mangsa ada di situ.

“Saluran ini berakhir di satu loji di Lembah Pantai,” katanya.

Nordin juga berkata pasukan SAR sedang mengkaji arus air dan menunggu maklumat daripada penyelam sebelum menggerakkan operasi ke fasa seterusnya.

Maimunah pula berkata pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan IWK berada di lokasi insiden sejak dari awal untuk sama-sama memudahkan operasi SAR.

“Kami harap semua sabar kerana kita telah bertungkus lumus dari awal sebaik menerima perkhabaran tentang kejadian ini dengan menggerakkan semua aset DBKL untuk mengorek kawasan kejadian.

“Saya zahirkan simpati kepada keluarga mangsa dan sedia membantu dari segi keperluan mereka semasa tinggal di sini sepanjang operasi dijalankan,” katanya.

Insiden pada 8.20 pagi itu menyaksikan mangsa, yang dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Andhra (Kuppam, India) tiba-tiba terjerlus ke dalam lubang sedalam lapan meter ketika sedang berjalan bersama keluarganya di depan Malayan Mansion, Jalan Masjid India.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan