AM > BERITA

Anak Mangsa Tanah Jerlus Rayu Selamatkan Ibu

24/08/2024 01:38 AM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- “Tolong selamatkan ibu saya,” itu rintihan anak lelaki sulung wanita warga India yang menjadi mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, pagi tadi sebaik tiba di lokasi kejadian.

Difahamkan, lelaki berusia 26 tahun dikenali sebagai Surya itu baru tiba ke negara ini dari Thailand serta terus bergegas ke lokasi kejadian pada kira-kira 9.30 malam untuk melihat sendiri usaha pencarian ibunya.

Dia yang memakai baju putih berkotak hitam dilihat gagal menahan kesedihan dan terpaksa ditenangkan oleh beberapa ahli keluarga serta kenalannya yang berada di situ.

Terdahulu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Shariff yang melawat lokasi kejadian sempat berbual bersama suami mangsa dengan bantuan jurubahasa.

Pada sidang media malam ini, Maimunah memaklumkan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sedia membantu sebarang keperluan keluarga itu semasa mereka berada di negara ini sepanjang operasi pencarian dilakukan.

Mangsa, yang dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Andhra, Kuppam dan keluarganya dijadualkan pulang ke India esok selepas dua bulan melancong di negara ini.

Dalam insiden 8.20 pagi itu, mangsa sedang berjalan di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India sebelum tiba-tiba terjerlus ke lubang sedalam lapan meter.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan