AM > BERITA

700 Hektar Sawah Di Perlis Hadapi Masalah Serangan Ulat Putih

27/08/2024 12:45 PM

KANGAR, 27 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 700 hektar sawah melibatkan 352 petani di lima kawasan pertubuhan peladang di Perlis, mengalami masalah serangan ulat gulung daun atau dikenali sebagai ulat putih bagi musim satu tahun ini, setakat semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri Razali Saad berkata lima kawasan di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) itu ialah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Arau, PPK Kayang, PPK Kangar, PPK Tambun Tulang, dan PPK Simpang Empat.

Beliau berkata serangan ulat sebelum musim menuai itu akan menyebabkan hasil padi yang diusahakan petani berkurangan kerana ia membantutkan jangka masa proses pengeluaran padi. 

“Serangan ulat gulung daun ini dipercayai berlaku (sejak) sebulan lepas dan dijangka menjejaskan pendapatan para petani yang akan mula menuai padi mereka kira-kira dua minggu akan datang sekiranya masalah ini berterusan tanpa kawalan.

“Hasil pendapatan petani akan merosot, bergantung pada usia padi yang terkena serangan ulat, kalau terkena (serangan ulat itu) pada peringkat pertengahan ini, minimum kita boleh kehilangan (anggaran) 40 peratus daripada hasil yang dijangka," katanya kepada pemberita selepas meninjau sawah yang terlibat dengan serangan ulat itu dekat sini.

Razali berkata tindakan awal dilakukan pihak MADA adalah dengan melakukan pemantauan berkala selain memberikan penerangan dan menyediakan racun bersesuaian kepada petani terlibat untuk mereka mengatasi serangan ulat itu.

"Bagi pihak kerajaan negeri, setakat ini kita sudah panggil agensi berkaitan untuk mesyuarat, selebihnya kita tunggu daripada pihak kementerian (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan)," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan