Terima Wang Lepaskan Warga Asing, Bekas Polis Dipenjara Sehari Dan Denda RM6,000

27/08/2024 03:04 PM

SHAH ALAM, 27 Ogos (Bernama) -- Seorang bekas anggota polis dipenjara sehari dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima RM3,000 bagi  melepaskan seorang warga Nepal dari lokap, lebih setahun lepas.

Hakim Datuk Anita Harun turut memerintahkan S. Kabilann, 34, dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Kabilann membayar denda itu.

Kabilann yang ketika itu anggota polis berpangkat Lans Koperal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam didakwa menerima wang berkenaan menerusi akaun bank miliknya daripada seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah cawangan bank di Kapar, Klang pada 13 Dis 2022 mengikut Sesyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin memohon hukuman berat kerana tertuduh ketika itu ialah seorang penjawat awam yang menyalahgunakan amanah diberikan kepadanya.

Kabilann yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap selepas dibuang kerja.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang bertugas di cawangan Lokap Berpusat IPD Shah Alam telah menakut-nakutkan seorang lelaki tempatan bahawa lelaki warga Nepal yang akan dijaminnya boleh dihukum penjara beberapa tahun atas kesalahan pergaduhan bersenjata sebelum meminta wang bagi melepaskan warga asing itu.  

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan