Datuk Didakwa Tipu Projek Lebuh Raya Tak Wujud Babitkan RM5.5 Juta

27/08/2024 03:00 PM

SHAH ALAM, 27 Ogos (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga pertuduhan menipu berjumlah RM5.5 juta melibatkan sebuah projek lebuh raya yang tidak wujud pada 2022 dan 2023. 

Pengakuan Mohamad Feardaus Khairuddin, 50, direkodkan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Tertuduh didakwa menipu dua lelaki tempatan berusia 58 dan 54 tahun untuk menyerahkan wang RM5 juta kononnya bagi urusan penawaran projek reka bentuk, membina dan menyiapkan Lebuhraya Padang Besar–Bukit Kayu Hitam–Jitra–Padang Terap–Teloi–Kulim–Changkat Jering (Northern Ekspress Alternative Road) yang tidak wujud.

Bapa kepada enam anak itu didakwa melakukan perbuatan terbabit di sebuah kediaman di Seri Kembangan, Kajang dekat sini antara 4 hingga 9 Nov 2022.

Selain itu, tertuduh juga didakwa memperdaya mangsa berumur 58 tahun sehingga mendorongnya menyerahkan wang berjumlah RM500,000 bagi urusan pembayaran cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi projek lebuh raya yang sama di sebuah bank di Kajang pada 13 Dis 2023.

Setiap pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.  

Timbalan Pendakwa Raya Aida Khairuleen Azli mengesyorkan jaminan keseluruhan RM80,000 dengan seorang penjamin, namun peguam R.L. Paniercelvan yang mewakili tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan. 

Paniercelvan merayu jaminan sebanyak RM40,000 diberikan kerana tertuduh yang telah menjalankan perniagaan sejak 10 tahun lepas merupakan penyara tunggal keluarga. 

Mahkamah membenarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan menghubungi saksi terutama pengadu sama ada secara langsung atau menerusi pihak ketiga. 

Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Sept ini.   

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan