AM > BERITA

YKNM, UK-Malaysia Kecekapan Konsortium Meterai Kerjasama Bantu Kumpulan Sasar KPWKM

27/08/2024 03:22 PM

KUCHING, 27 Ogos (Bernama) -- Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKNM) dengan UK-Malaysia Kecekapan Konsortium menandatangani Nota Kerjasama bagi melaksanakan program "Kecekapan-Rise" untuk membantu kumpulan sasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

YKNM diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Nordiana Haron manakala Dr Ramona Blanes yang juga Principal Investigator UK-Malaysia Kecekapan Konsortium mewakili agensi itu dalam majlis menandatangani nota berkenaan yang disaksikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Berucap pada majlis itu di sini hari ini, Nancy berkata program kerjasama berkenaan bertujuan membantu kumpulan sasar kementerian bagi meningkatkan kemahiran dalam aspek keusahawanan, literasi kewangan, pemasaran, dan media sosial.

“Kecekapan membawa maksud 'Key Entrepreneurial Cognitive Education and Knowledge Advancement Project: A Network' manakala 'RISE YKN' membawa maksud 'Reaching Intellect through Social and Education (Rise)'.

“Maksud ini seiring dengan objektif penubuhan YKN iaitu memperkasa kumpulan sasar dalam aspek pendidikan,” katanya.

Nancy yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKNM berkata program berkenaan akan dijalankan melalui kursus secara dalam talian selama 12 minggu bermula September hingga Disember ini dan ditaja sepenuhnya oleh British Council.

“Modul bagi kursus ini dibangunkan oleh Kecekapan Konsortium dan dilaksanakan dalam tiga pilihan bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Isyarat.

“Dalam program ini, YKN memainkan peranan untuk mengenal pasti peserta yang bersesuaian daripada kumpulan sasar KPWKM yang terdiri kumpulan B40, ibu tunggal dan orang kurang upaya,” katanya.

KPWKM dalam kenyataan sempena majlis itu berkata Kecekapan Konsortium akan menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran, dan peserta yang berjaya menamatkan kursus akan memperoleh sijil penyertaan yang diiktiraf UK-Malaysia Kecekapan Konsortium.

Projek rintis yang dimulakan di negeri Sarawak itu melibatkan 500 peserta dan setiap peserta yang menyertai program berkenaan ditaja sepenuhnya oleh British Council yang melibatkan keseluruhan kos berjumlah RM2 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan