AM > BERITA

Agong Puas Hati Dengan Persiapan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 - Fahmi

28/08/2024 05:49 PM

PUTRAJAYA, 28 Ogos (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan rasa puas hati dengan persiapan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 yang akan berlangsung Sabtu ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. 

Fahmi berkata beliau dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa mempersembahkan taklimat mengenai persiapan sambutan itu kepada Seri Paduka Baginda di Istana Negara semalam. 

"Tuanku berpuas hati dengan persiapan dan tidak ada apa-apa perkara yang luar daripada jangkaan, insya-Allah," kata Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024 dalam sidang media di sini hari ini.

Menyentuh tentang persiapan dari segi kelancaran capaian Internet, Fahmi berkata sebanyak 36 kenderaan "Cell on Wheels" (COW) disediakan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi di sepanjang lokasi perbarisan bagi menampung jumlah kehadiran pengunjung yang tinggi.

Fahmi berkata capaian Internet di pusat media juga ditambah baik menerusi beberapa titik akses dan wi-fi memandangkan aduan yang diterima tahun lepas berkaitan dengan kualiti capaian yang kurang baik. 

Beliau berkata laluan ke Core Island iaitu lokasi perbarisan kontinjen akan ditutup pada 31 Ogos dan orang ramai diminta mengambil pengangkutan awam yang disediakan antaranya bas dan teksi air.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini diadakan di Dataran Putrajaya dengan tema "Malaysia MADANI, Jiwa Merdeka".

Ia dianjurkan di Putrajaya buat julung kalinya pada 2003, seterusnya pada 2005, 2018, 2019 dan 2023.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan