BERITA TERGEMPAR   Hong Leong Bank remains watchful on the US monetary policy stance, targeting 1.85 pct - 1.95 pct NIM growth in FY2025 - CEO Kevin Lam | 
 AM > BERITA

Mahkamah Klang Dedahkan Murid Kepada Sejarah, Sistem Perundangan Terapkan Semangat Kemerdekaan

29/08/2024 03:19 PM

KLANG, 29 Ogos (Bernama) -- Menyedari kepentingan penghayatan sejarah dalam membentuk generasi pelapis berjiwa merdeka, pengurusan Mahkamah Klang hari ini mengambil inisiatif mengadakan Program Sambutan Ambang Merdeka bersama pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Klang.

Urusetia Program Nor Mimi Saifura Baharom berkata kira-kira 100 murid bersama guru dan kakitangan mahkamah, berarak sejauh 500 meter bermula dari sekolah tersebut ke Kompleks Mahkamah Klang sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Beliau berkata program yang julung kali diadakan itu, bukan sahaja bertujuan menerapkan semangat kemerdekaan melalui penghayatan sejarah, malah turut memberi pendedahan kepada murid berhubung sistem perundangan negara.

“Kita berkolaborasi bersama SK Klang untuk bawa anak-anak ini melihat sejarah prakemerdekaan yang ada berhampiran dengan sekolah mereka sendiri yang mana bangunan Mahkamah Klang ini pernah menjadi antara penempatan residen British di Selangor suatu ketika dahulu.

“Maklum balas yang kami terima daripada anak-anak ini menunjukkan mereka seronok kerana dapat melihat secara dekat sejarah yang ada dan bangunan mahkamah ini sendiri iaitu tempat di mana sistem perundangan negara dipaktikkan,” katanya ketika ditemui selepas program itu di sini.

Delegasi Mahkamah Klang diketuai Ketua Pusat Kos Zulqarnain Hassan manakala SK Klang diwakili Guru Besar Norshahima Nordin

Sementara itu, Norshahima berkata program itu merupakan platform yang baik dalam membentuk kemenjadian murid, menerusi pemahaman terhadap sistem perundangan dan kehakiman negara sekali gus membantu dalam pembentukan generasi yang berperaturan dan berintegriti.

Menyambut baik penganjuran program itu, beliau turut membayangkan untuk meluaskan lagi kerjasama dengan pihak mahkamah dalam mengadakan program-program lain, yang dapat memberi manfaat dan pembangunan yang holistik kepada murid-murid di SK Klang. 

“Kita nak beri pendedahan kepada murid berkenaan kemerdekaan dengan sistem perundangan di Malaysia, sebab ia ada kaitan kerana mahkamah bukan sahaja simbol keadilan tetapi dapat membentuk sikap dan mentaliti yang cintakan keadilan. 

“Dalam konteks anak-anak di SK Klang ini kita lebih nak mendidik mereka supaya jadi warga Malaysia yang berperaturan, taat kepada undang-undang, bertanggungjawab dan berintegriti dan mahkamah merupakan tempat yang sesuai untuk perkara ini diterapkan dalam diri mereka,” katanya. 

Perarakan yang bermula pada 7.30 pagi itu dimeriahkan dengan nyanyian lagu kebangsaan, lakonan semula pengisytiharan kemerdekaan, selain lawatan ke bangunan mahkamah berkenaan. 

Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 bertemakan ‘Malaysia MADANI, Jiwa Merdeka’ akan diadakan di Putrajaya. 

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan