AM > BERITA

Pengarah Berhasrat Hasilkan Sekuel Filem Takluk: Lahad Datu

31/08/2024 12:14 AM

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Pengarah filem Takluk: Lahad Datu, yang menemui penonton di pawagam sejak 22 Ogos lepas, Zulkarnain Azhar berhasrat menghasilkan sekuel atau bahagian kedua filem itu pada masa akan datang. 

Beliau berkata perancangan yang bakal menggabungkan penampilan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia itu bagaimanapun masih di peringkat awal selain bergantung kepada sambutan serta permintaan penonton. 

"Filem Takluk: Lahad Datu ini sebenarnya terhenti pada fasa awal, boleh dikatakan adalah bahagian satu sebab itu, yang dah menonton mereka rasa hujungnya tergantung, memang kami buat tergantung kerana bahagian satu ini adalah kisah inspirasi sebelum Op Daulat dilancarkan.

"Jadi bahagian dua bakal berkisarkan Op Daulat. Kami menjangkakan filem bahagian dua nanti akan jadi lebih besar lagi," katanya ketika hadir pada program Ambang 31@ Bernama anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini malam ini. 

Program itu turut menampilkan pelakon filem berkenaan, yang telah mencapai kutipan lebih RM10.5 juta selepas tujuh hari tayangan, iaitu Syafiq Kyle dan Riezman Khuzaimi sebagai tetamu. 

Zulkarnain berkata beliau akan berusaha mengekalkan pelakon yang sama bagi menjayakan watak dalam sekuel tersebut. 

Filem Takluk: Lahad Datu diinspirasikan daripada tragedi pada 2013 yang berkisarkan krisis selepas pengganas Sulu dari Filipina menceroboh Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah.

Mengulas cabaran mengarah filem aksi perang kepolisan itu, Zulkarnain berkata mereka perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa selain ingin menggambarkan kejadian sebenar kepada penonton.

"Namun dalam karya kreatif memang akan ada sedikit perbezaan bagi mencantikkan penyampaian informasi berkenaan sejarah tetapi pada masa yang sama, tetap mampu menghiburkan sebagai sebuah filem.

"Latar juga kita tak buat macam ia berlaku pada 2013, penggunaan bahasa juga kejadian sebenar bukan 100 peratus Bahasa Melayu," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan