AM > BERITA

600 Warga Bernama Meriahkan Sambutan Ambang 31@Bernama

31/08/2024 01:29 AM

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) tidak ketinggalan memeriahkan sambutan Ambang Hari Kebangsaan 2024 dengan menganjurkan program Ambang 31@Bernama di pekarangan lobi Wisma Bernama di sini malam ini.

Program itu turut disertai Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan diserikan dengan persembahan sape oleh Alena Murang, nyanyian lagu patriotik oleh Badan Kesenian Tentera Darat, persembahan tarian oleh murid-murid Sekolah Kebangsaan Danau Kota dan barisan pelakon Takluk: Lahad Datu iaitu Syafiq Kyle dan Riezman Khuzaimi. 

Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan kepada warga kerja Bernama serta tetamu yang hadir seperti cabutan bertuah, pertandingan pakaian terbaik dan kuiz kemerdekaan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin berkata program yang bermula seawal 8.30 malam itu disertai sebanyak 600 orang yang meliputi petugas dan ahli keluarga. 

“Sejak petang tadi semua petugas telah berkumpul, malah ada antara mereka yang pulang dan kembali membawa keluarga masing-masing. Kami berasa bersyukur kerana program ini mendapat sokongan daripada rakan-rakan strategik dan penaja makanan seperti Nasi Lemak Saleha, Marrybrown dan pelbagai lagi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh warga kerja Bernama yang menjayakan program Ambang 31@Bernama dengan penuh kemeriahan itu. 

Tepat 12 tengah malam, 120 das percikan bunga api mewarnai ruang udara kawasan di sekitar Wisma Bernama. 

Turut hadir Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz serta Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Sharifah Zaini Syed Zain. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan