AM > BERITA

Pencemaran Bau: Kandungan Bahan Kimia Dikesan Di Sungai Pandan - Bomba

03/09/2024 04:25 PM

JOHOR BAHRU, 3 Sept (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor telah mengambil sampel air dan tanah di Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan di sini susulan pencemaran bau kimia yang dilaporkan berlaku di tiga kawasan di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata analisis pada peringkat awal terhadap sampel berkenaan mendapati ada kandungan bahan kimia yang belum dapat dikenal pasti jenisnya.

Beliau berkata sampel kedua bagi mengetahui kandungan dan jenis kimia berkenaan akan diambil dengan bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Melaka dan keputusannya akan diketahui pada hari ini.

“Menerusi siasatan awal, pihak bomba mendapati di sini (Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan) merupakan tempat disyaki pencemaran berlaku berdasarkan bau yang lebih kuat.

“Oleh itu sampel air dan tanah diambil bagi analisis peringkat awal yang menunjukkan bacaan pH normal,  tetapi terdapat satu kandungan bahan kimia yang belum dapat dikenal pasti. Justeru, kita sedang menunggu HAZMAT Melaka untuk membantu menjalankan siasatan lebih lanjut,” katanya pada sidang media selepas meninjau sungai berkenaan di sini hari ini.

Ling berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor juga sedang mengesan dan mendapatkan bacaan pencemaran di kawasan terlibat dan tindakan penguatkuasaan terhadap kilang-kilang berdekatan sungai terbabit akan dijalankan setelah keputusan sampel kedua diketahui.

Beliau berkata selain kawasan Taman Daya, Taman Mount Austin dan Taman Istimewa, pencemaran bau kini turut melibatkan kawasan Kampung Melayu Pandan.

Kejadian pencemaran itu, katanya setakat ini tidak melibatkan sebarang mangsa namun sebuah tadika dan sekolah agama di Kampung Melayu Pandan yang terletak berhampiran sungai berkenaan telah diarahkan tutup sebagai langkah berjaga-jaga.

Ling turut menasihati penduduk supaya memakai pelitup muka dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami sebarang gejala.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan