AM > BERITA

PM Anwar Adakan Lawatan Kerja Dua Hari Ke Rusia Bermula Rabu

03/09/2024 09:56 PM

Daripada Niam Seet Wei

VLADIVOSTOK (Rusia), 3 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja dua hari ke Rusia bermula Rabu, bagi menghadiri Forum Ekonomi Timur (EEF) kesembilan di Vladivostok, bandar raya pelabuhan utama di Timur Jauh Rusia.

Anwar juga akan berucap pada sidang pleno EEF pada 5 Sept.

Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai berkata ini lawatan pertama Anwar ke Rusia sejak menjadi Perdana Menteri pada November 2022.

Beliau berkata kemuncak lawatan itu ialah pertemuan bilateral bersama Presiden Rusia Vladimir Putin dan Anwar dijangka mengulangi minat Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS, memandangkan Rusia kini merupakan pengerusi BRICS.

“Mengambil pertimbangan bahawa Malaysia akan mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN tahun hadapan, tentunya lawatan ini juga akan menjadi platform untuk mempromosi dan mengulangi minat Malaysia untuk menyertai BRICS.

“Lawatan itu atas jemputan Presiden Putin, yang disampaikan oleh Menteri Luar Rusia (Sergey Lavrov),” katanya kepada pemberita Malaysia di sini hari ini.

Cheong berkata pertemuan bilateral Anwar bersama Putin itu akan menyediakan peluang untuk perbincangan mengenai hubungan bilateral termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pertanian dan sekuriti makanan serta pelancongan, dan meneroka kerjasama dalam bidang baharu seperti aeroangkasa dan teknologi termaju.

“Mereka juga dijangka bertukar-tukar perspektif mengenai konflik Rusia-Ukraine dan situasi di Timur Tengah dan membincangkan kerjasama dalam konteks Perkongsian Dialog ASEAN-Rusia,” katanya.

Pada lawatan itu, Anwar juga dijangka bertemu Timbalan Mufti Rushan Hazrat Abbyasov, yang merupakan timbalan pengerusi satu Majlis Mufti Rusia dan Lembaga Agama Islam dan menerima kunjungan hormat Rais (Ketua) Tatarstan Rustam Minnikhanov.

Beliau berkata Perdana Menteri juga dijadual melawat pavilion pameran Far East Street dan berkemungkinan berinteraksi bersama pempamer tempatan.

Pameran  Far East Street merupakan salah satu daripada acara utama EEF. Ia secara tradisinya menarik sejumlah besar tetamu dalam kalangan peserta forum, penduduk tempatan dan pelawat Vladivostok.

EEF ialah forum ekonomi tahunan yang diadakan di rantau Timur Jauh Rusia sejak 2015 untuk menggalakkan pelaburan dan pembangunan ekonomi serta kerjasama antarabangsa di rantau itu.

Bertemakan ‘Menggabung Kekuatan untuk Mencipta Potensi Baharu’, sesi pleno EEF kesembilan akan dihadiri pemimpin asing dan tempatan peringkat tinggi, penggubal dasar, ahli akademik dan ketua industri.

Sementara itu dalam satu kenyataan Kementerian Luar memaklumkan bahawa Anwar akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz; Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib; Timbalan Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup; dan pegawai kanan kerajaan.

Kenyataan itu memaklumkan lawatan Anwar ke Rusia mengambarkan hubungan kukuh antara Malaysia dan republik itu dan memberi peluang meningkatkan kerjasama bilateral untuk faedah bersama, terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan.

Pada 2023, Rusia merupakan rakan dagangan kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah, dengan jumlah perdagangan bilateral meningkat 15.6 peratus tahun ke tahun kepada RM14.22 bilion (US$3.1 bilion), berbanding RM12.3 bilion (US$2.79 bilion) direkodkan pada 2022.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan