AM > BERITA

IKS Diseru Kolaborasi Dengan PPDK

05/09/2024 03:26 PM

JASIN, 5 Sept (Bernama) -- Syarikat dan usahawan yang berjaya dalam industri kecil dan sederhana (IKS) disaran menjalinkan kolaborasi dengan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dalam usaha mengetengahkan potesi golongan orang kurang upaya (OKU) ke peringkat lebih tinggi. 

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata perkara itu selaras dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang prihatin terhadap golongan OKU. termasuk atlet paralimpik negara. 

Kejayaan atlet paralimpik di temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 yang meraih pingat serta dua peserta PPDK mewakili Melaka dalam pertandingan nyanyian di Olimpik Khas pada Oktober nanti memberi isyarat jelas golongan istimewa itu mampu berjaya menerusi bantuan pelbagai pihak termasuk syarikat koporat dan IKS.

"Sehubungan itu, Perdana Menteri sentiasa menunjukkan keprihatinan beliau terhadap atlet paralimpik dengan memberi pelbagai kemudahan, sokongan dan dorongan kerana kejayaan mereka itu patut dihargai dan dipuji.

"Keprihatinan ini harus dicontohi dan kita bukan sekadar bercakap mengenai syarikat gergasi tetapi syarikat IKS untuk sama-sama membantu menyumbang dalam bentuk kewangan atau barangan bagi menjayakan program anjuran PPDK yang seterusnya dapat melahirkan masyarakat prihatin dalam kalangan keluarga Malaysia MADANI," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Semarak Merdeka MADANI 2024 PPDK Daerah Jasin di Jasin Bistari di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kejayaan atlet Cheah Liek Hou yang meraih pingat emas dalam acara badminton dan pingat perak menerusi Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru.

Shamsul Iskandar juga menyarankan kerajaan negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk terus mengambil pendekatan proaktif dengan melibatkan peserta PPDK dari setiap daerah dalam sambutan Hari Kebangsaan.

"Seperti mana tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu Jiwa Merdeka, kita mahu semua warga tidak kira latar belakang merasai dan menjadi sebahagian sejarah kemerdekaan negara dan bersama-sama menghayati nilai baik agar kestabilan politik terus berkekalan dan hubungan sesama kaum dapat dipelihara sebaiknya.

"Saya juga berharap JKM dan kerajaan negeri dapat mengambil inisiatif untuk menjadikan sambutan Hari Kebangsaan dalam kalangan PPDK sebagai acara wajib setiap tahun bermula tahun hadapan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan