AM > BERITA

Persembahan Berkonsep 'Rumah MADANI' Pada Sambutan Hari Malaysia

09/09/2024 06:20 PM

KOTA KINABALU, 9 Sept (Bernama) -- Persembahan yang unik dan menarik berkonsepkan Rumah MADANI bakal dipersembahkan kepada pengunjung dan penonton, pada sambutan Hari Malaysia 2024 peringkat kebangsaan pada 16 Sept.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2024 berkata merangkumi lima segmen, ia akan dipersembahkan dalam bentuk tarian pada sambutan di Padang Merdeka, di sini.

“Persembahan khas ini merangkumi pelbagai aspek kejayaan Malaysia antaranya keteguhan, perpaduan, kemajuan serta transformasi negara, dan persembahan ini melibatkan 100 peserta.

“Pelbagai acara menarik telah disusun bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat di negara ini pada sambutan Hari Malaysia 2024, yang kita menjadi tuan rumah sambutan tahun ini,” katanya ketika ditemu bual Radio SabahFM di sini hari ini.

Liew berkata raptai penuh sempena sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada 14 Sept, bermula 6 petang di Padang Merdeka, bagi memastikan kelancaran majlis yang berlangsung.

Beliau berkata berkata acara lain termasuk tarian sambut tamu, menandatangani buku khas sambutan Hari Malaysia 2024, memotong kek Hari Malaysia, konvoi kembara merdeka dan upacara menerima Jalur Gemilang.

“Sambutan Hari Malaysia yang bertemakan ‘Rumah MADANI, Jiwa Merdeka’ itu turut melibatkan 85 anggota keselamatan Polis Diraja Malaysia, yang bersiap sedia bagi memastikan kelancaran sambutan pada malam sambutan berkenaan,” katanya.

Liew turut menjemput orang ramai untuk datang bersama-sama memeriahkan sambutan dan menasihatkan supaya datang awal serta menggunakan kemudahan pengangkutan awam yang telah disediakan.

Beliau berkata para tetamu akan turut dihiburkan dengan persembahan artis Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, artis tempatan seperti Elica Paujin, Faizal Tahir, Fauziah Gambus, Amir Jahari dan Stacy, selain dimeriahkan dengan persembahan bunga api.

“Maklumat rasmi berkaitan sambutan Hari Malaysia boleh didapati di web Merdeka360 atau layari Facebook dengan carian Merdeka360.

“Ayuh kita kibarkan Jalur Gemilang menerusi inisiatif satu rumah satu Jalur Gemilang di setiap kediaman masing-masing. Selain itu semua dijemput untuk memeriahkan sambutan Hari Malaysia di media sosial dengan berkongsi #MalaysiaMadani #JiwaMerdeka #TaatSetia #Merdeka360,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan