Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pemborong Diminta Segera Ambil Stok Beras, Elak Pengguna Terjejas - Jamawi

09/04/2026 07:16 PM

TELUPID, 9 April (Bernama) -- Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah mengingatkan pemborong beras supaya segera mengambil bekalan yang dibeli daripada pembekal bagi memastikan kelancaran pengedaran dan bekalan kepada pengguna.

Menterinya Datuk Jamawi Jaafar berkata terdapat 3,000 tan beras dibeli oleh beberapa pemborong tiga hari lalu, namun masih belum diambil dan tersimpan di stor Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

“Saya minta pemborong menyediakan lori untuk membawa keluar (mengangkut) bekalan beras yang telah ditempah (dari pembekal).

Ad Banner
Ad Banner

Saya tidak mahu ia menjadi satu proses sabotaj oleh pemborong untuk kononnya menaikkan harga,” katanya kepada pemberita selepas program sesi libat urus bersama Jabatan Perparitan dan Saliran Sabah serta jamuan Aidilfitri, di sini, hari ini.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan harga beras khususnya di Sabah tidak akan mengalami sebarang kenaikan kerana subsidi barang keperluan itu kekal berkuat kuasa.

Sementara itu, Jamawi berkata pihaknya turut melakukan audit terhadap beberapa pemborong berhubung dakwaan ‘menyorok’ beras.

“Kita buat audit supaya ada bukti, dan sekiranya ada bukti (terhadap dakwaan tersebut), denda paling kurang RM50,000 dan juga hukuman penjara kepada pemilik lesen.

“Tidak ada kompromi, tidak ada belas kasihan kerana ia mengganggu kehidupan rakyat. Siasatan sedang dijalankan. Masa kita panggil, ada beberapa pemborong tidak hadir,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi berkata kira-kira RM1 bilion setahun dibelanjakan untuk keperluan beras import di Sabah.

Justeru, katanya, kementeriannya menyasarkan pembangunan kawasan sawah padi terbiar di Sabah bagi mengurangkan kebergantungan beras import dari Vietnam dan Thailand.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan