AM > BERITA

Pengurangan Penerima Darjah Kebesaran 2024: Langkah Positif Menjaga Nilai, Prestij Anugerah - Pakar

10/09/2024 02:23 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept  (Bernama) -- Jumlah penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2024 yang lebih kecil dilihat oleh pakar perlembagaan sebagai langkah positif bagi memelihara nilai dan martabat anugerah berkenaan.

Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata penilaian terperinci terhadap setiap calon meningkatkan prestij anugerah itu yang dikurniakan berdasar kepada budi bicara dan kuasa Yang di-Pertuan Agong. 

“Dalam hal ini Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk menentukan jumlah penerima. Pada pandangan saya, jumlah penerima yang rendah adalah sesuatu yang sihat kerana ia sekali gus menambah nilai dan martabat darjah kebesaran serta  anugerah tersebut.

“Jika terlalu ramai penerima, gelaran atau anugerah itu akan dianggap biasa dan tidak dipandang tinggi oleh masyarakat,” katanya kepada Bernama.

Istiadat penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2024 sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara pada Sabtu lepas menyaksikan hanya 116 individu dipilih daripada 2,335 nama yang dicalonkan. 

Jumlah itu merupakan pengurangan 86 peratus, berbanding 839 penerima pada istiadat sama tahun lepas, kata Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini.

Sementara itu penganalisis politik Mujibu Abd Muis pula melihat perkara itu sebagai pendekatan bagi memastikan pingat kebesaran Persekutuan hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar layak, bagi mengelak ia dimanipulasi atau disalah guna selepas amaran tegas dalam titah Seri Paduka Baginda.

“Mungkin ada beberapa faktor, antaranya Seri Paduka Baginda sendiri yang sering menzahirkan kebimbangan akan pingat ini disalah guna untuk tujuan tidak baik, yang akan mengundang persepsi buruk masyarakat kepada mereka yang bergelar (penerima pingat),” katanya.

Bagaimanapun Mujibu berkata beliau yakin masyarakat turut melihat perkara itu secara positif dan baik.

Sultan Ibrahim ketika bertitah pada istiadat tersebut memberi amaran akan menarik balik Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan daripada penerima yang terlibat dengan jenayah, mencemarkan nama negara atau dihukum oleh mahkamah.

Pakar Perlembagaan Prof Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz pula berpandangan kualiti individu yang diberikan anugerah itu berkait rapat dengan kedudukan institusi-institusi beraja itu sendiri.

“Perkara utama adalah kepercayaan yang dianugerahkan oleh Kebawah Duli Tuanku kepada mana-mana pihak yang Seri Paduka Baginda anggap sesuai, berwibawa dan mampu menggalas amanah. Saya fikir ia adalah sesuatu yang harus diterima oleh masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan