AM > BERITA

KKM Tiada Cadangan Laksana PKP Kekang Penularan Mpox - Dzulkefly

10/09/2024 02:57 PM

SUNGAI BULOH, 10 Sept (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) tidak bercadang melaksanakan sebarang sekatan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan cacar monyet  (Mpox) sepertimana dilakukan sewaktu jangkitan COVID-19 kira-kira empat tahun lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata keputusan itu dibuat selepas ujian saringan dijalankan terhadap 6.2 juta pengembara yang masuk ke negara ini mendapati kesemuanya negatif.

Beliau berharap situasi Mpox dalam negara tidak dibandingkan dengan negara jiran, Singapura, untuk mengelakkan timbul suasana menggusarkan.

“Saya sebagai menteri kerap diasak untuk meningkatkan prosedur operasi standard (SOP). Insya-Allah, jangan risau tidak akan ada PKP seperti ketika era pandemik COVID-19.

“Namun saya juga mahu ingatkan supaya kita jangan terlalu selesa kerana kita tahu transisi (jangkitan) virus ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-20 Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sungai Buloh hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Suriani Ahmad, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Dr Ummi Kalthom Shamsuddin dan Pengarah ILKKM Sungai Buloh Robert Wong Kim Han.

Sehingga semalam, Singapura dilaporkan mencatat 15 kes Mpox manakala ketika ini di Malaysia kekal sembilan kes yang direkodkan pada akhir tahun lepas.

Sementara itu pada sidang media, Dzulkefly mengesahkan bahawa 52 kes disyaki virus Mpox adalah negatif.

“Ini termasuk melibatkan saringan di pintu masuk antarabangsa laut, udara dan darat. Sehingga hari ini alhamdulillah, kita tidak lagi mendapat satu kes positif daripada mereka yang kita syaki,” katanya.

Beliau turut memaklumkan KKM sedang melaksanakan proses pemerolehan antiviral Mpox dan akan memberi keutamaan kepada golongan rentan serta imuniti rendah sekiranya perlu bagi mengelakkan penularan virus berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata tiada pertindihan fungsi dalam senarai badan berkanun di bawah KKM.

“Badan berkanun tak banyak, kita ada beberapa agensi sahaja. Saya pasti kita tidak ada pertindihan termasuk dari sudut pentadbiran (tetapi) kalau ada kita akan ambil program rasionalisasi dan konsolidasi,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menubuhkan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan bagi menangani isu pertindihan fungsi dan menjimatkan dana negara.

Selain itu, Anwar berkata sekretariat itu juga akan memastikan tiada pegawai awam menggunakan jawatan disandang untuk melakukan perbuatan curang, selaras dengan usaha kerajaan melaksanakan reformasi perkhidmatan awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan