AM > BERITA

Penamaan Calon PRK DUN Mahkota Di Dewan Tunku Ibrahim Ismail - SPR

12/09/2024 02:49 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota Sabtu ini akan diadakan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang, Johor, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini berkata bakal calon yang bertanding pada PRK itu perlu menyerahkan kertas penamaan calon dari 9 pagi hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di Pusat Penamaan Calon berkenaan. 

Beliau menyarankan supaya bakal calon mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor sebelum hari penamaan calon. 

“Bakal calon juga dinasihatkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran,” katanya.  

Ikmalrudin berkata bakal calon hendaklah mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan Kertas Penamaan Calon. 

Beliau berkata penggunaan semua jenis alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan diayah politik melalui kenderaan serta larangan menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan yang ditetapkan adalah tidak dibenarkan pada hari penamaan calon dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5].

Setiausaha SPR itu mengingatkan calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta 5, juga tertakluk pada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT).

“SPR menyeru kepada bakal-bakal calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan PBT bagi memastikan proses penamaan calon yang dilaksanakan dapat berjalan dengan baik dan lancar,” katanya.

SPR menetapkan hari pengundian bagi pilihan raya itu pada 28 Sept manakala pengundian awal pada 24 Sept ini. 

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, daripada Barisan Nasional (BN) pada 2 Ogos lepas ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di Kluang.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan