AM > BERITA

Op Global: JAIS Ambil Tindakan Sewajarnya Terhadap Dua Sekolah Berdaftar Di Bawahnya

12/09/2024 07:06 PM

SHAH ALAM, 12 Sept (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mengambil tindakan sewajarnya susulan dua sekolah berdaftar di bawah agensi itu terlibat dalam serbuan Op Global dilaksanakan pihak polis semalam.

Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Mohd Shahzihan Ahmad berkata tindakan itu dibuat mengikut Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988.

Beliau berkata kedua-dua premis berkenaan iaitu Sekolah Rendah Islam Integrasi Miftahul Hikmah didaftarkan dengan JAIS pada Januari 2015 dan akan tamat pendaftaran pada 31 Dis 2025 dengan menggunakan silibus JAIS.

"Sepanjang pemantauan dibuat di sekolah tersebut pada 13 Jan dan 23 Mac 2023 serta 26 Julai lepas mendapati tidak wujud sebarang penyelewengan.

"Sebuah lagi sekolah iaitu Maahad Tahfiz Wal Ulum Al-Ghazaly menggunakan kurikulum tahfiz sendiri serta telah didaftarkan pada 12 Nov 2014 dan akan tamat pendaftaran pada 31 Dis tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.  

Mohd Shahzihan berkata lapan buah sekolah termasuk dua yang diserbu disyaki berada di bawah Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Beliau berkata dua daripadanya telah menutup operasi secara sukarela, dua lagi telah tamat pendaftaran manakala sebuah sekolah ditarik pendaftaran dan baki masih lagi beroperasi hingga 2028.

Mohd Shahzihan berkata susulan serbuan terhadap 18 buah premis di Selangor, JAIS turut berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar barangan rampasan berkaitan dengan kepercayaan dan amalan ahli-ahli GISBH diserahkan kepada pihaknya bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 7, 12 dan 13 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan aktiviti ahli GISBH sentiasa dipantau secara rapat oleh JAIS berikutan wujudnya kaitan antara mereka dengan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa'.

“Istitabah yang diuruskan oleh JAIS pada 8 Nov 2013 tidak pernah membatalkan fatwa tentang kepercayaan dan amalan yang melibatkan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa',” katanya.

Mohd Shahzihan berkata pihaknya juga telah meneliti 19 video yang dimuat naik di media sosial Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) bagi mengukuhkan hasil siasatan sedia ada serta mendapatkan keterangan daripada individu atau pihak lain untuk melengkapkan siasatan.

Media semalam melaporkan sebanyak 171 individu ditahan selepas polis menyerbu 20 premis di Selangor dan Negeri Sembilan berkaitan siasatan eksploitasi agama dan kanak-kanak

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan