AM > BERITA

Murid SK Seri Ketereh Juara Pertandingan Seni Generatif AI Antarabangsa 2024

15/09/2024 03:30 PM

KOTA BHARU, 15 Sept (Bernama) -- Murid prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh di sini,  Atiya Raisa Anizam muncul juara Pertandingan Seni Generatif AI Antarabangsa 2024 (Kategori Sekolah) yang berlangsung pada 6 Jun hingga 30 Julai lepas.

Karya bertajuk Education for Tomorrow iaitu hasil karya menggabungkan elemen seni tradisional Kelantan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang kreatif dan mempunyai pendekatan inovatif, telah menarik perhatian juri.

"Saya sangat teruja dengan kemenangan ini. Pertandingan ini memberi peluang kepada saya untuk menonjolkan karya menggunakan teknologi AI. Saya harap dapat terus berkembang dalam seni digital dan menjadi inspirasi kepada pelajar lain,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Majlis pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah berlangsung di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC), semalam.

Guru pembimbing Adilla Mansor berkata anak didiknya telah bekerja keras dan menunjukkan dedikasi tinggi dalam menghasilkan karyanya itu.

“Atiya telah bekerja keras dan dedikasinya membuahkan hasil. Kejayaan ini juga membuktikan komitmen sekolah dan murid dalam memperkasakan teknologi AI dalam seni,” katanya.

Pertandingan Seni Generatif AI telah menarik lebih 60 penyertaan dari Malaysia, Indonesia dan Mesir yang dibuka kepada pelajar berumur lima hingga 19 tahun.

Kategori sekolah menyaksikan peserta dari Kelantan dan Sabah menunjukkan prestasi cemerlang dengan muncul juara, naib juara dan tempat ketiga dalam kategori masing-masing.

Pelajar dari SK Seri Ketereh dinobatkan juara, diikuti SK Bukit Abal naib juara manakala tempat ketiga disandang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan  (SMK) Kampong Chengal.

Anugerah 10 karya terbaik dimenangi sekolah dari Sabah seperti SK Sungai Nafas, SK Bawang dan SMK Beluran, di Beluran, Sabah serta beberapa peserta dari Pulau Pinang turut menonjolkan kecemerlangan Malaysia dalam seni generatif AI di pentas antarabangsa.

Sementara itu, kurator pameran yang juga Presiden Persatuan Pendidik Animasi Malaysia (PPAM) Prof Madya Ahamad Tarmizi Azizan berkata karya dipamerkan oleh pelajar sekolah mencerminkan tahap kreativiti dan kemampuan teknikal yang sangat mengagumkan.

“Kemenangan ini bukan sahaja memperlihatkan bakat pelajar dari Kelantan dan Sabah, tetapi juga potensi besar seni generatif AI di Malaysia,” katanya yang juga Pengarah Creative Accelerator Center (CAC), Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Beliau berkata Pertandingan Seni Generatif AI ini adalah sebahagian daripada GEN AI International Art Exhibition and Competition 2024 dan turut disertakan dalam penganjuran program International MyDigital Maker Fair 2024, anjuran MDEC pada 13 hingga 15 Sept.

"Lebih 200 karya dari 15 negara turut dipamerkan dalam kategori lain termasuk ahli akademik, profesional, artis, pelajar IPT dan murid sekolah, dan penilaian dilakukan oleh juri profesional dari Malaysia, Indonesia, Iraq, Thailand, Mesir, Jerman, China dan Turkiye.

"Penganjuran acara ini diharap akan terus memupuk lebih ramai pelajar meneroka potensi seni generatif AI dan membuka peluang Malaysia untuk menonjol di persada seni digital antarabangsa," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan