AM > BERITA

Hari Malaysia Adalah Masa Untuk Bersatu Padu, Muhasabah Diri- Lee Lam Thye

17/09/2024 12:29 AM

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Sambutan Hari Malaysia yang diraikan hari ini adalah masa terbaik untuk rakyat merenung kembali pembentukannya pada 16 Sept 1963 sebagai simbol perpaduan dan muhasabah diri.

Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara Tan Sri Lee Lam Thye berkata Sambutan Hari Malaysia hendaklah dijadikan sebagai kuasa yang menyatukan rakyat pelbagai latar belakang dari Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah untuk sama-sama menuju ke arah matlamat dan kejayaan negara.

“Memandangkan 16 Sept 1963 adalah hari yang menyaksikan Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia, memperingati Hari Malaysia boleh membantu dalam menekankan kepentingan integrasi serantau serta etnik dan perpaduan.

“Semasa kita meraikan ulang tahun ke-61 pembentukan Malaysia dan Hari Kemerdekaan ke-67 bagi Tanah Melayu, adalah penting untuk merenung kembali usaha serta pengorbanan kita dalam pembinaan bangsa selain mengenal pasti kekuatan dan kelemahan kita,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pembinaan bangsa adalah proses yang mencabar dan memakan masa serta menuntut kepimpinan yang baik dan teguh, persefahaman, kerja keras, pengorbanan serta komitmen dan perpaduan, justeru sambutan Hari Malaysia adalah penting untuk menghidupkan semula semangat patriotik serta memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. 

Lee turut menekankan kepentingan Rukun Negara sebagai panduan bagi pembinaan bangsa dan hendaklah dihormati oleh semua pihak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan