AM > BERITA

NCSM Melaka Sasar Kutipan Dana RM100,000 Bantu Pesakit Kanser

17/09/2024 05:16 PM

MELAKA, 17 Sept (Bernama) -- Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Melaka menyasarkan kutipan dana kira-kira RM100,000 menerusi program berjalan kaki amal Neon Walk 4.0 Catch A Smile.

Pengurus Kanan NCSM Melaka M Banu berkata program yang masuk kali keempat penganjurannya itu bakal berlangsung pada 5 Okt ini bermula 6 petang di pekarangan Bangunan The Stadhuys di sini.

"Kutipan dana ini bagi membantu golongan memerlukan terutamanya pesakit kanser tahap tiga dan empat termasuk pesakit kanser dalam kalangan bayi di tahap awal.

"Dana ini diperlukan untuk membantu meringankan beban pesakit seperti membiayai kos rawatan selain penginapan ibu bapa yang perlu membawa bayi mereka ke hospital di Kuala Lumpur," katanya pada sidang media di pejabat NCSM Melaka di sini hari ini. 

Mengulas lanjut Banu berkata program dengan kerjasama Lion's Club of Tanjung Bidara itu juga menyasarkan kira-kira 2,000 peserta pelbagai lapisan masyarakat menyertai acara jalan kaki sejauh tiga kilometer itu.

Beliau berkata setakat ini 1,000 peserta telah berdaftar untuk program amal itu dan NCSM Melaka berharap lebih ramai yang berminat untuk turut serta menjayakannya. 

"Pada program itu juga kita juga menyediakan khidmat saringan kanser dengan tujuan mengesan penyakit itu di peringkat awal agar rawatan segera dapat dilakukan selain suntikan vaksin papilomavirus manusia (HPV) kepada wanita dan lelaki secara percuma.

"Kebimbangan kita pada masa kini adalah peningkatan pesakit kanser seperti payudara, pangkal rahim, usus, paru-paru dan prostat justeru kita berharap kesedaran masyarakat tentang kepentingan saringan awal ini dapat mencegah sel kanser merebak dan menyelamatkan nyawa," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata setiap peserta hanya perlu membayar yuran pendaftaran RM50 dan mereka akan memperoleh baju-T serta berpeluang merebut pelbagai hadiah cabutan bertuah lain.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan