AM > BERITA

Mangsa Banjir Di Johor, Kedah Dan Perak Meningkat, Selangor Menurun

07/10/2024 10:46 AM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor, Kedah dan Perak semakin meningkat pagi ini manakala di Selangor bilangan mangsa banjir sedikit menurun.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir yang direkodkan pada 8 pagi ini meningkat kepada 808 orang daripada 240 keluarga berbanding 195 mangsa daripada 60 keluarga pada 8 malam tadi menyaksikan Batu Pahat dan Pontian menjadi daerah terbaharu terjejas banjir apabila beberapa PPS dibuka di dua daerah itu sejak malam tadi. 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Anom di Pontian yang dibuka 8.30 malam tadi menempatkan 120 mangsa daripada 39 keluarga yang tinggal di Kampung Parit Jawa, Kampung Parit Gantung dan Kampung Parit Lancang.

Beliau berkata bagi daerah Batu Pahat, PPS dibuka di SK Seri Bunut pada 8 pagi ini, melibatkan 14 penduduk daripada dua keluarga dari Kampung Talang Bunut dan Kampung Olak Batu.

"PPS di Kluang pula menunjukkan peningkatan dengan enam PPS baharu dibuka iaitu di Dewan Kampung Kolam Air, SK Simpang Renggam, SK Seri Kencana, SK Sungai Linau, Dewan Terbuka Kampung Paya Palembang dan Balai Raya Parit Haji Hashim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Cuaca pagi ini dilaporkan mendung di Daerah Muar, Pontian, Segamat, Batu Pahat dan Tangkak sementara daerah lain cerah.

Di KEDAH,  jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di tiga PPS di daerah Kubang Pasu dan Pendang meningkat kepada 338 orang daripada 100 keluarga pada 8 pagi ini berbanding 229 orang daripada 69 keluarga malam tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata di daerah Kubang Pasu terdapat dua PPS yang beroperasi iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun dan Dewan PPK Lubuk Batu yang baharu dibuka malam tadi.

“Jumlah mangsa yang ditempatkan di dua PPS di Kubang Pasu seramai 223 orang daripada 75 keluarga manakala di daerah Pendang seramai 115 orang daripada 25 keluarga ditempatkan di Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di PERAK pula, mangsa banjir terus bertambah pagi ini dengan 304 orang daripada 83 keluarga berbanding 234 orang membabitkan 64 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataannya memaklumkan kesemua mangsa banjir itu berlindung di empat PPS di daerah Larut, Matang dan Selama, Kerian dan Hilir Perak.

"Di daerah Kerian, 63 orang daripada 18 keluarga ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak manakala 50 orang daripada 15 keluarga pula berlindung di SK Parit Haji Amanz Bagan Serai.

"Seramai 50 orang daripada 15 keluarga turut ditempatkan di SK Matang di Taiping manakala 141 orang daripada 35 keluarga berada di Dewan Serbaguna Padang Tembak di Teluk Intan," menurut sekretariat itu.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan kebanyakan daerah di Perak antaranya di Larut, Matang dan Selama, Kerian, Perak Tengah, Kinta, Kuala Kangsar dan Batang Padang dijangka mengalami ribut dan hujan pada sebelah petang dan malam.

Di SELANGOR, berlaku sedikit penurunan jumlah mangsa banjir yang berlindung di PPS pagi ini iaitu seramai 248 mangsa daripada 50 keluarga berbanding 281 individu membabitkan 57 keluarga malam tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tiga PPS iaitu PPS Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Seri Kundang, SK Ijok dan SK Bukit Badong masih beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir dari dua daerah iaitu Gombak dan Kuala Selangor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan