AM > BERITA

Istiadat Perkahwinan Tengku Muhammad Iskandar, Tengku Natasya Berlangsung Tiga Hari

08/10/2024 03:49 PM

KUANTAN, 8 Okt (Bernama) -- Istiadat perkahwinan Putera Sultan Pahang, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan pasangan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan berlangsung selama tiga hari. 

Perkongsian berita gembira itu dibuat menerusi hantaran Kesultanan Pahang di laman Facebook yang memaklumkan istiadat perkahwinan diraja itu akan berlangsung pada 24, 25 dan 27 Okt di Istana Abdulaziz di sini. 

Al-Sultan Abdullah dan isteri Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mencemar duli berangkat ke beberapa acara sempena istiadat perkahwinan itu antaranya Majlis Adat Midodareni atau Majlis Suai Kenal dan Majlis Siraman yang diadakan di Taman Duta, Kuala Lumpur. 

Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Sebelum ini, Tunku Azizah berkenan berangkat ke Majlis Khatam al-Quran Tengku Natasya Puteri yang turut diadakan di ibu negara. 

Sementara itu, Kesultanan Pahang dalam kenyataan memaklumkan istiadat perkahwinan Tengku Muhammad Iskandar dan Tengku Natasya Puteri dijadual bermula dengan Istiadat Meletak Kerja pada  22 Okt di Istana Abdulaziz di sini.

Istiadat Meletak Kerja dimulakan dengan doa selamat dan majlis tahlil dengan seterusnya istiadat bernikah, berinai dan persandingan yang akan berlangsung pada 8 malam.

Pasangan pengantin diraja bakal dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada 24 Okt di Balai Mahkota Istana Abdulaziz.

“Istiadat akan diteruskan dengan berinai pada 25 Okt dan istiadat persandingan diraja pada 27 Okt," menurut kenyataan itu.

Istiadat akad nikah, berinai dan persandingan akan disiarkan secara langsung melalui dua layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Dataran Muzium Diraja, Pekan.

Pelbagai acara menarik akan diadakan di kedua-dua lokasi berkenaan sepanjang tarikh Istiadat Perkahwinan Putera Diraja berlangsung.

Istiadat Menutup Kerja perkahwinan diraja akan diadakan pada 28 Okt.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan