AM > BERITA

Malaysia Berhasrat Perkukuh Kerjasama Strategik 'twin City' Putrajaya-Shanghai

09/10/2024 04:17 PM

PUTRAJAYA, 9 Okt (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa hari ini menyuarakan hasrat memperkukuh kerjasama strategik twin city antara Wilayah Persekutuan, khususnya Putrajaya dengan Shanghai melalui program pertukaran kepakaran.

Dr Zaliha yang dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke China bermula 7 Okt berkata langkah berkenaan bukan sahaja membolehkan Malaysia mempelajari lebih lanjut tentang pengurusan bandar pintar dan penyelesaian teknologi berasaskan inovasi malah dapat membantu memastikan negara berada di barisan hadapan dalam mengadaptasi pendekatan moden.

“Saya yakin kerjasama ini mampu membawa Wilayah Persekutuan ke tahap lebih tinggi dalam pengurusan bandar yang berdaya tahan dan berinovasi,” katanya menerusi hantaran di laman X hari ini. 

Terdahulu, Dr Zaliha mengadakan mesyuarat bersama Kerajaan Perbandaran Shanghai yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Shanghai Municipal Commission of Housing, Urban-Rural Development and Management (SHMCHURDM) merangkap Pengarah Biro Pengurusan dan Penguatkuasaan Undang-Undang Bandaraya Shanghai Zhang Yonggang.  

Mesyuarat itu diadakan susulan keputusan Jemaah Menteri baru-baru ini berkenaan kerjasama twin city antara Putrajaya dan Shanghai.

Beliau berkata perbincangan tertumpu kepada perkongsian kepakaran dalam strategi pembaharuan semula bandar di Shanghai iaitu 10 daerah utama mereka akan menjalani proses pembaharuan menjelang 2025, melibatkan pembangunan semula kawasan perumahan, komersial dan perindustrian yang dijangka membawa impak besar kepada pertumbuhan bandar secara menyeluruh.

“Antara aspek menarik perhatian saya ialah pelaksanaan konsep Sponge City, satu strategi pengurusan banjir pintar yang menggunakan teknologi pemantauan canggih termasuk sensor bawah tanah.

“Konsep ini bukan sahaja memperkukuh ketahanan bandar terhadap perubahan cuaca yang ekstrem, malah berpotensi meminimumkan kesan bencana alam di kawasan berisiko banjir,” katanya sambil menambah model itu boleh menjadi inspirasi Wilayah Persekutuan dalam mengintegrasikan teknologi hijau dalam perancangan bandar demi masa depan lebih lestari.

Dr Zaliha berkata Shanghai juga telah melaksanakan sistem pengurusan grid bandar yang terperinci iaitu bandar dibahagikan kepada kawasan kecil serta dipantau menggunakan teknologi kamera litar tertutup (CCTV) sensor dan pangkalan data awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan