AM > BERITA

Agong, Permaisuri Adakan Lawatan Negara Ke Brunei Esok

12/10/2024 03:59 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan mengadakan lawatan negara ke Brunei bermula esok hingga 15 Okt.

Kunjungan itu merupakan lawatan negara pertama Seri Paduka Baginda ke Brunei sejak menaiki takhta pada 31 Jan 2024.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan lawatan negara itu akan terus mengukuhkan lagi hubungan erat dan istimewa antara Malaysia dan Brunei yang ditunjangi oleh institusi Kesultanan Melayu, agama, budaya serta ikatan kekeluargaan.

"Lawatan itu juga dilihat signifikan dengan ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Brunei," menurut kenyataan itu.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda akan diiringi Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin serta pegawai-pegawai Istana Negara, kementerian dan agensi berkaitan.

Seri Paduka Baginda akan diraikan dalam Majlis Sambutan Negara di Istana Nurul Iman disusuli dengan kunjungan menghadap ke atas Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

"Sultan Hassanal Bolkiah juga berkenan mengadakan Majlis Santapan Negara bagi meraikan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah. Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong juga dijadualkan menghadiri sesi ramah mesra dengan komuniti Malaysia di Bandar Seri Begawan.

"Raja Permaisuri Agong juga akan mengadakan lawatan ke Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan merasmikan Sudut Penerbitan Malaysia yang mempamerkan penerbitan penyelidikan bersama antara Brunei dan Malaysia," menurut kenyataan itu.

Pada 2023, Brunei menjadi rakan dagang ke-30 terbesar Malaysia dan rakan dagang keenam terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan dagangan berjumlah RM9.31 bilion (US$2.04 bilion).

Bagi tempoh dari Januari hingga Julai 2024, jumlah dagangan antara kedua-dua negara adalah sebanyak RM5.48 bilion (US$1.16 bilion)

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan