AM > BERITA

Nippon Paint jalin Kerjasama Atasi Cabaran Landskap, Pertingkat Standard Industri 

12/10/2024 08:29 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Lebih 300 pengamal profesional dalam industri pembinaan termasuk pemaju, arkitek, juruukur bahan dan jurutera menghadiri Seminar Forward Reinvent dengan tumpuan Defeating Design Demons: Navigating the Unseen Challenges in Architecture ,anjuran Nippon Paint (Malaysia) Sdn Bhd (Nippon Paint).

Seminar dengan kerjasama Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) dan Architect Centre itu tertumpu ke arah meningkatkan kemahiran pihak berkepentingan dalam industri pembinaan dan membincangkan cabaran dihadapi dalam bidang seni bina di Malaysia.

Nippon Paint dalam kenyataan memaklumkan ia bertujuan mengurangkan isu berkenaan, yang akan menyumbang kepada penghasilan binaan lebih tahan lama, mampan dan berkualiti tinggi di serata Malaysia.

“Kecacatan bangunan sering kali disebabkan oleh kerja-kerja pertukangan yang tidak sempurna, bahan rosak dan kecacatan reka bentuk.

“Seminar ini membincangkan masalah tersebut dan cara untuk mengatasinya menerusi perkongsian teknik inovatif dan amalan terbaik, yang boleh membawakan penjimatan tahunan hingga berjuta ringgit bagi industri pembinaan,” menurut kenyataan itu.

Seminar yang menampilkan penceramah terkemuka Ellina Rahman dari DP Architects, Anthony Lee Tee dari Architect Centre dan Pengurus Kanan Bahagian Projek di Nippon Paint Ester Goh, mengutarakan pandangan yang boleh diguna pakai berhubung cabaran utama dihadapi oleh industri pembinaan.

Dalam kenyataan sama, Ellina yang merupakan pakar bidang seni bina pelengkap, menekankan realiti dalam industri seni bina iaitu sebagai pengamal profesional dalam industri, mereka perlu menangani pelbagai perkara seperti batasan bahan, kod pematuhan dan perubahan arahan oleh pelanggan.

“Menguruskan perkara tersebut dan pada masa sama memastikan keutuhan binaan bukanlah satu perkara mudah, tetapi ia amat penting dalam memastikan bahawa reka bentuk tetap berfungsi, selamat dan kekal utuh.

“Penyenggaraan adalah satu lagi komponen perlu diberi perhatian untuk menangani isu-isu seperti kemerosotan atau kebocoran pada bumbung. Kerja ini tidak glamor, tetapi memerlukan pandangan jauh, perancangan dan kolaborasi dengan kontraktor dan jurutera mahir.

Anthony pula menggalakkan golongan arkitek muda untuk melibatkan diri dalam projek pengubahan dan penambahan (A&A) yang selalunya memerlukan pelarasan struktur kompleks, seperti kerja-kerja yang perlu dilaksanakan dengan kabel, dinding tirai, serta isu keselamatan kebakaran sedia ada.

Seminar itu turut memberi tumpuan kepada projek pengubahsuaian, terutamanya di kawasan bandar, dengan tanah yang terhad untuk projek pembangunan baharu, banyak bangunan lama dibaik pulih hingga menambahkan kerumitan dalam proses pembinaan.

Kenyataan itu menyebut Nippon Paint mempunyai pengalaman luas dalam menangani cabaran pengubahsuaian dan menerusi Total Coating & Construction Solutions (TCCS), syarikat itu telah menjayakan pelbagai kerjasama dengan pemaju, arkitek, serta kontraktor dalam lebih 100 projek pengubahsuaian baharu dan lama.

Ester Goh pula menyentuh tentang isu sistemik dalam projek bangunan tinggi, khususnya kadar kerosakan dalam pengalisan air bumbung sebanyak 90 peratus yang disebabkan oleh pemasangan tidak dibuat dengan betul.

Beliau berkata apabila lapisan pengalisan air rosak, ia boleh menyebabkan pembaikan yang menelan belanja besar, bukan hanya akan menjejaskan struktur bangunan tetapi juga menimbulkan pertikaian antara kontraktor dan pemaju, atau dalam kes-kes lebih teruk, boleh berakhir dengan litigasi.

“Pendekatan komprehensif Nippon Paint memastikan bahawa penyelesaian yang kami tawarkan bukan hanya meliputi bahan tetapi seluruh proses, dari penyediaan hinggalah penggunaan untuk mendapatkan hasil jangka panjang,” katanya.

“Kami juga berbangga dengan sistem antiefflorescence kami iaitu yang pertama di rantau ini  menawarkan waranti. Ia menggunakan teknologi untuk menghindar air (hidrofobik) termaju untuk mencegah peresapan air dan mengurangkan rekahan permukaan yang disebabkan oleh cuaca buruk.

“Ia melindungi dinding daripada deposit garam, supaya keutuhan dan estetik bangunan tahan lebih lama... efflorescence bukan sahaja merupakan isu estetik, ia juga menandakan kemungkinan masalah kelembapan dalam dinding. Sekiranya dibiarkan, isu ini boleh mengakibatkan kecacatan teruk, seperti kulat dan kulapuk, serta cat boleh melepuh dan akhirnya menyebabkan kemerosotan permukaan,” katanya.

Beliau berkata Nippon Paint komited untuk membawakan penyelesaian sistem total berpadanan yang mengutamakan perlindungan berkualiti dan kemasan indah dalam setiap projek.

Pengurus Besar bagi TU Business di Nippon Paint Malaysia Group Chen Lee Siong berkata seminar itu menonjolkan kerumitan dalam industri yang memerlukan pembelajaran dan penyesuaian berterusan daripada pengamal profesional dalam bidang pembinaan untuk memastikan ketahanan dan fungsi dalam projek mereka.

“Kami juga ingin mendapatkan pandangan daripada veteran dalam industri berkenaan isu lebih mendalam yang dihadapi oleh industri untuk menyesuaikan penyelesaian kami supaya dapat memenuhi sebarang permintaan semakin meningkat, untuk menyumbang kepada kemajuan dalam amalan pembinaan di Malaysia,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Total Coating and Construction Solutions (TCCS) dari Nippon Paint, sila layari https://professional.nipponpaint.com.my/wall-tile-finishing-solutions.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan