AM > BERITA

Banjir Di Sungai Siput: Penduduk Tekad Berenang Demi Selamatkan Dokumen Penting

14/10/2024 11:51 AM

SUNGAI SIPUT, 14 Okt (Bernama) -- Seorang pekerja kilang Zarul Nizam Zakaria tekad berenang mengharungi air yang menenggelamkan laluan ke kediamannya untuk menyelamatkan dokumen penting dalam kejadian banjir di Kampung Lintang di sini semalam.

Bagaimanapun Zarul Nizam, 31, yang pergi ke rumah abangnya di Batu Gajah pada Sabtu lepas gagal menyelamatkan apa-apa kerana rumahnya sudah ditenggelami banjir dalam kejadian berkenaan.

“Orang kampung beritahu saya air telah naik. Saya, anak-anak dan isteri bergegas pulang. Sampai di jalan pekan Lintang, air telah naik. Saya tinggalkan isteri dan anak-anak di pusat pemindahan sementara (PPS) dan memandu pulang, tetapi laluan ke rumah juga dinaiki air.

“Saya tekad berenang dalam banjir kira-kira 300 meter untuk pulang ke rumah, tapi hampa sebab semuanya sudah tengelam,” katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Zarul Nizam berkata ini adalah pengalaman kedua kampungnya dilanda banjir teruk sejak 2014.

Dalam kejadian 8 pagi semalam, ratusan penduduk di lima kampung terpaksa dipindahkan selepas sebahagian kawasan dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak kelmarin, dan antara kemudahan yang dinaiki air ialah balai polis, sekolah dan masjid di kampung berkenaan.

Sementara itu Ketua Kampung Lintang Noriman Harun berkata kira-kira 350 penduduk daripada 90 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Kampung Lintang sebelum mereka dipindahkan ke PPS Dewan Kampung Baru Cina selepas PPS itu turut dinaiki air.

“Kemudian bekalan elektrik di PPS Dewan Kampung Baru Cina pula terputus, dan atas nasihat pegawai daerah, penduduk terpaksa dipindahkan ke PPS Dewan Pandak Hamid di Pusat Sehenti Orang Asli Bawong malam ini untuk keselesaan mereka.

“Air naik sangat pantas sehingga mencecah paras bahaya iaitu kira-kira 5.4 meter dan gelombang kedua dijangka berlaku, maka penduduk di kampung terjejas diminta berpindah ke PPS,” katanya.

Seorang penduduk Amirah Solehah Zamiri, 21, yang ditemui di PPS berkenaan berkata beliau bersama enam ahli keluarganya termasuk anak berusia 11 bulan terpaksa berpindah dua kali setelah dua PPS dinaiki air dan bekalan elektrik terputus.

Beliau berkata walaupun rumahnya berada di tempat tinggi dan kurang terjejas, dia sekeluarga mengambil keputusan untuk berpindah demi keselamatan mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan