AM > BERITA

Penyalahgunaan Dadah Libat Pelajar Sekolah Tunjuk Trend Membimbangkan - AADK

14/10/2024 11:35 AM

KANGAR, 14 Okt (Bernama) -- Kes penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid dan pelajar sekolah di negara ini menunjukkan trend membimbangkan apabila statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mencatatkan peningkatan bagi tempoh 2020 hingga 2023.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Khairul Anwar Bachok berkata sebanyak 10,456 kes penyalahgunaan dadah direkodkan melibatkan murid sekolah rendah pada 2020 seterusnya meningkat kepada 10,712 kes pada 2021.

“Pada 2022 pula, kes membabitkan murid merekodkan sebanyak 11,611 dan meningkat kepada 12,755 kes pada tahun berikutnya (tahun lepas),” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Aspirasi Bahasa dan Sastera di sini, yang dianjurkan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Khairul Anwar berkata berdasarkan rekod AADK, murid berusia 11 tahun dikesan paling muda menjadi penagih dadah.

Bagi kategori sekolah menengah rendah iaitu pelajar Tingkatan Tiga atau setaraf, Khairul Anwar berkata statistik merekodkan sebanyak 32,867 pelajar terbabit dengan isu penyalahgunaan dadah pada 2020 dan meningkat kepada 34,612 pelajar pada 2021.

"Pada 2022, jumlah pelajar meningkat kepada 36,236 orang manakala pada tahun lepas kepada 37,321 orang,” katanya.

Beliau berkata bagi kategori pelajar sekolah menengah atas iaitu Tingkatan Lima dan setaraf menyaksikan peningkatan kepada 55,855 orang pada tahun lepas berbanding 47,951 orang pada 2022 manakala tahun sebelumnya merekodkan sebanyak 43,863 pelajar dan 42,758 pelajar pada 2020.

Sehubungan itu, Khairul Anwar berkata pelbagai langkah dilaksanakan pihaknya untuk memastikan isu itu dapat diatasi dengan menggunakan usaha pencegahan menerusi Model i-Cegah AADK meliputi lima elemen antaranya saringan dan penilaian, pemprofilan, perancangan dan pelaksanaan.

Beliau berkata kempen “Lebih Baik Cegah” terus diperhebat untuk memastikan usaha pencegahan awal menjadi benteng utama sebelum kes penyalahgunaan dadah menjadi lebih parah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan