AM > BERITA

Banjir Di Jasin Berikutan Taburan Hujan Tinggi, Air Laut Pasang Besar

14/10/2024 09:08 PM

JASIN, 14 Okt (Bernama) -- Taburan hujan tinggi sejak dua hari lepas dan fenomena air pasang besar menjadi antara faktor penyebab banjir di beberapa kawasan di Jasin hari ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata perkara itu dimaklumkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka yang melakukan pemantauan terhadap faktor penyebab bencana berkenaan.

"Kita difahamkan oleh agensi terlibat, situasi yang berlaku ini adalah pertembungan antara air laut  pasang selain taburan hujan tinggi mengakibatkan air sungai melimpah hingga beberapa kawasan rumah penduduk turut ditenggelami air.

"Kerajaan negeri bersama jabatan dan agensi terlibat akan mengambil langkah penyelesaian sama ada jangka pendek dan panjang bagi mengatasi isu banjir yang berlaku untuk mengelakkannya menjadi lebih buruk," katanya kepada pemberita di Merlimau di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum dan turun padang memantau kawasan terjejas di Kampung Kilang Berapi.

Rais berkata pihaknya bersama agensi terbabit juga akan memastikan keperluan dan kebajikan semua mangsa di PPS berada dalam keadaan yang baik.

"Kita juga berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengambil inisiatif membuka kaunter di PPS bagi memudahkan ketua keluarga membuat laporan mengenai banjir melanda kediaman mereka," katanya.

Mangsa banjir di Jasin menurun kepada 238 membabitkan 79 keluarga pada 4 petang ini berbanding 275 mangsa daripada 77 keluarga 12 tengah hari tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua mangsa ditempatkan di lima PPS di daerah berkenaan iaitu SMK Dang Anum, Sekolah Kebangsaan (SK) Serkam Darat, SK Tedong, SK Merlimau dan SMK Dato Abdul Rahman Ya'kob.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan