AM > BERITA

Penduduk Terjejas Banjir Di Jasin Dakwa Air Naik Dengan Pantas

14/10/2024 08:46 PM

JASIN, 14 Okt (Bernama) -- Beberapa penduduk terjejas akibat banjir di sini mendakwa bencana kali ini antara paling teruk pernah berlaku di kawasan berkenaan kerana air naik terlalu pantas dan begitu mendadak mendadak.

Siti Rasyidah Ibrahim, 26, dari Kampung Kilang Berapi berkata hujan lebat berterusan lebih sejam awal pagi tadi menyebabkan air sungai melimpah, sehingga mengakibatkan rumahnya dinaiki air hingga ke paras pinggang.

Beliau berkata pada pukul 2 pagi tadi beliau dikejutkan dari tidur apabila bumbung di bahagian biliknya bocor.

“Walaupun kampung ini sering dinaiki air, namun ini kali pertama ia naik begitu dan secepat ini…Saya sempat selamatkan dokumen-dokumen penting dan pindahkan beberapa peralatan elektrik ketika air naik pagi tadi,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk Abdul Rahman Muhamad, 30, mendakwa air naik secara mendadak kali ini disebabkan pintu air di kawasan berkenaan ditutup berikutan fenomena air laut pasang.

Beliau berkata hujan lebat tanpa henti dari pukul 2 hingga 4 pagi menyebabkan situasi itu lebih buruk sehingga rumah mereka dinaiki air kira-kira separas pinggang.

"Biasanya jika banjir air naik ke kawasan rumah kami ambil masa yang lama untuk surut dan sehingga tengah hari tadi saya lihat kawasan rumah ibu masih bergenang dengan air.

"Rumah ibu juga selalu jadi tanda aras… kalau rumah itu dinaiki air, rumah penduduk kawasan itu juga berisiko untuk banjir," katanya.

Sementara itu Zainon Md Rasul, 52, dari Jalan Paya Lengkong 1 berkata dia menyedari air sungai berdekatan rumahnya itu mula melimpah kira-kira pukul 5 pagi, namun mereka sekeluarga sempat menyelamatkan peralatan elektrik seperti peti ais dan mesin basuh.

Beliau berkata banjir hanya terjadi dalam tempoh tiga ke empat tahun sekali di kampung itu, namun beliau tidak menyangka sama sekali pada kali ini rumah mereka akan turut terlibat, dinaiki air sehingga hampir satu meter.

"Kami reda dengan ujian ini dan bersyukur dapat menyelamatkan barangan penting serta berharap situasi ini cepat pulih," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan