AM > BERITA

Penduduk Kampung Di Baling Minta Segera Bina Jambatan Kekal

14/10/2024 07:43 PM

BALING, 14 Okt (Bernama) -- Penduduk Kampung Teluk Rambong dekat sini memohon agar jambatan baharu kekal segera dibina bagi menggantikan tiga jambatan yang telah musnah dilanda banjir.

Seorang penduduk Mohamad Yusof Mohd Nor, 61, berkata kegiatan harian penduduk, khususnya membabitkan aktiviti pertanian serta membawa keluar hasil ladang seperti kelapa sawit, getah dan pisang tergendala jika perkara itu tidak diselesaikan segera.

"Saya mengusahakan kebun durian dan pisang. Kira-kira 50 tahun saya duduk di sini, banjir kali ini luar biasa, tidak pernah berlaku banjir macam ini.

"Akibat banjir kali ini, tiga titi (jambatan) yang menghubungkan beberapa laluan di kampung  dihanyutkan air dan mendatangkan kerumitan kepada penduduk yang perlu menggunakan laluan itu untuk kegiatan harian, berkebun, keluarkan hasil pertanian, hantar anak-anak nak ke sekolah dan nak ke surau," katanya kepada pemberita di Kampung Teluk Rambong dekat sini hari ini.

Mohamad Yusof berkata kira-kira 20 rumah yang laluannya perlu menyeberangi jambatan yang rosak dan antaranya penduduk warga emas yang uzur dan sakit.

"Sebelum ini orang kampung bergotong-royong membina tiga jambatan alternatif menggunakan batang pokok kelapa bagi menggantikan titi besi yang telah dihanyutkan banjir. Besar harapan kami agar pihak berkenaan dapat bina titi lain yang lebih selamat," katanya.

Sementara itu, Ismail Abdullah, 72, berkata dalam tempoh dua minggu lagi tanaman labu dari ladangnya akan mula dituai dan dia gusar memikirkan bagaimana cara untuk membawa keluar hasil ladang itu.

"Macam mana nak bawa keluar 30 tan labu lagi dua minggu? Hari ini 500 anak pokok getah baru sampai, saya terpaksa angkut beberapa kali ke ladang yang terletak kira-kira satu kilometer dari titi yang rosak, lori yang hantar anak pokok getah tidak dapat masuk terus ke kebun," katanya.

Struktur jambatan alternatif yang dibina penduduk kampung hanya mampu bertahan tidak lebih enam bulan dan tidak mampu menampung muatan berat.

"Itu pun untuk laluan motosikal, untuk kereta memang tidak selamat sebab batang kelapa tak tahan kena air banjir, cepat reput. Saya berharap agar jambatan kekal dapat segera dibina sebab susah untuk kami jalankan kegiatan yang menjadi sumber pendapatan utama penduduk di sini," katanya.

Sejak 30 Sept lepas kampung berkenaan telah dilanda tiga gelombang banjir yang bukan sahaja memusnahkan jambatan malah beberapa kediaman penduduk turut mengalami kerosakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan