AM > BERITA

JBPM Tingkat Pemantauan Di 'Hotspot' Banjir, Pastikan Respons Pantas - KP Bomba

15/10/2024 06:19 PM

PUTRAJAYA, 15 Okt (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mempertingkatkan pemantauan di kawasan 'hotspot’ banjir bagi memastikan respons pantas dapat digerakkan bagi membantu mangsa terjejas.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata arahan berkenaan telah dikeluarkan kepada setiap bomba negeri khususnya yang terlibat banjir iaitu Kedah, Perak, Perlis, Selangor dan Kuala Lumpur.

"’Ini bagi memastikan kesiapsiagaan jentera dan anggota berada pada tahap tertinggi supaya kita dapat beri respons dengan cepat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kenderaan rasmi Proton kepada JBPM sempena 'International Fire Conference and Exhibition Malaysia 2024' (IFCEM) di sini hari ini.

Mengambil contoh kejadian banjir di Lembah Klang hari ini, beliau berkata JBPM telah menggerakkan anggota dan jentera di lokasi tertentu untuk pemantauan serta kerja menyelamat susulan maklumat awal daripada Jabatan Meteorologi.

“Kita telah menggerakkan pasukan sebelum menerima panggilan (banjir) tetapi ada juga lokasi-lokasi yang terlepas daripada kita punya radar (jangkaan). Maksudnya kita tidak menjangkakan air naik terutamanya di kawasan sekitar Universiti Malaya (UM),” katanya.

Beliau berkata banjir di Lembah Klang adalah terkawal dan diharapkan keadaan cuaca akan bertambah baik walaupun negara dijangka berhadapan fenomena air pasang besar bermula esok.

Mengenai kejadian tanah runtuh di Taman Melawati, Nor Hisham berkata JBPM akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkuasa teknikal berkaitan, antaranya Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melihat situasi cerun berkenaan.

“Apabila JMG dan JKR telah ada penilaian akhir, baru akan diputuskan apa tindakan seterusnya kepada penghuni,” katanya.

Polis hari ini mengarahkan penghuni 20 rumah di Taman Melawati, Ampang supaya mengosongkan kediaman masing-masing susulan kejadian tanah runtuh di kawasan berhampiran akibat hujan lebat pagi tadi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini meminta masyarakat berwaspada dan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan banjir berikutan Monsun Timur Laut (MTL) dijangka lebih awal iaitu minggu keempat bulan ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan