AM > BERITA

Banjir: Elak Pertindihan Bantuan, NGO Disaran Hubungi PKOB

17/10/2024 07:55 PM

TEMERLOH, 17 Okt (Bernama) -- Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menghulurkan pelbagai bantuan kepada mangsa banjir di Pahang perlu memaklumkan hasrat mereka kepada Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bagi tujuan penyelarasan bantuan dan tugas.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata perkara itu perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang pertindihan ketika memberikan bantuan.

"Kita bukan mahu susahkan NGO tetapi ia bagi memudahkan pengaturan bantuan dan tugas dalam membantu mangsa banjir.

"Jika tidak, nanti akan berlaku pertindihan. Kita sememangnya mengalu-alukan bantuan NGO… kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Lanchang dan SK Mentakab di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata kerajaan Pahang amat berbesar hati atas pertolongan diberikan berdasarkan maklum balas positif yang diterima daripada kebanyakan mangsa banjir negeri ini terhadap layanan kepada mereka.

"Mereka menyatakan rasa puas hati kerana layanan yang diterima sangat baik terutama (membabitkan) makan, minum dan peralatan (bahkan) dari segi PPS juga, kita tidak mendapat sebarang rungutan.

“Saya menasihati orang ramai supaya patuh arahan pihak berkuasa. Jika diminta pindah, segeralah berpindah dan jangan balik sebelum diarahkan balik," katanya.

Beliau berkata pihaknya setakat ini belum bercadang memindahkan kampung yang sering dilanda banjir ke lokasi lain kerana perkara itu memerlukan kajian teliti selain proses mencari lokasi sesuai perlu mengambil tempoh yang panjang.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan