PETALING JAYA, 6 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) menerima banyak aduan mengenai pelanggaran hak cipta bahan-bahan pendidikan yang dihasilkan oleh kementerian, kata menterinya Fadhlina Sidek.
Beliau berkata aduan itu antaranya berkaitan penggunaan bahan daripada buku teks yang telah dimasukkan ke dalam peranti seperti televisyen pintar dan papan pintar yang dijual pada harga yang lebih tinggi kepada pihak sekolah.
Pelanggaran itu katanya, menimbulkan kebimbangan kerana ia melibatkan penyelewengan hak intelek kementerian yang boleh memberi impak negatif kepada kualiti dan integriti sistem pendidikan negara.
“Saya fikir bila kita terima aduan itu (pelanggaran hak cipta), langkah utama yang harus dilakukan adalah untuk memastikan bahawa kandungan tersebut tidak lagi dimuat naik tanpa kebenaran, dan memastikan hak cipta harta intelek khususnya berkaitan dengan bahan pendidikan ini dilindungi sepenuhnya.
“Jadi dalam konteks ini, kita akan terus memastikan ia dilindungi kerana mahu hak intelek membabitkan bahan pengajaran dipastikan dari segi perundangan atau kesahihan dan tidak lagi dimuat naik tanpa kebenaran," kata Fadhlina.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan KPM di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Sementara itu, Armizan berkata MoU terbabit adalah kesinambungan kepada pelaksanaan program dijalankan MyIPO sejak 2013 untuk meningkatkan kesedaran hak harta intelek dalam kalangan pelajar.
Melalui MoU itu, sebuah modul khas mengenai harta intelek akan dibangunkan dan dimasukkan sebagai elemen rentas kurikulum (EMK) dalam kurikulum sekolah sedia ada.
"Modul ini akan memperkenalkan konsep harta intelek dengan cara yang mudah difahami oleh pelajar dan membina asas serta pemahaman kukuh bagi melahirkan generasi celik perlindungan harta intelek," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial