Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Projek Industri Bercampur Di Melaka Rancak Ekonomi Setempat, Buka Peluang Pelaburan - LBS

24/05/2025 10:44 AM

Oleh Puti Iylia Maisarah

PETALING JAYA, 24 Mei (Bernama) -- Projek pembangunan industri bercampur di Klebang, Melaka dijangka merancakkan pertumbuhan setempat menerusi pewujudan rantaian ekonomi yang lebih aktif serta menarik pelaburan baharu ke kawasan itu.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS Tan Sri Dr Lim Hock San berkata projek itu sebahagian daripada inisiatif LBS Bina Group Berhad (LBS) untuk mengukuhkan pembangunan secara holistik, bukan sahaja dalam sektor perumahan, tetapi merangkumi komersial dan perindustrian.

“Sepanjang tempoh pembinaan dan selepas projek ini siap kelak, ia akan menjana pelbagai peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan daripada sektor pembinaan hingga pengurusan, penyelenggaraan dan perniagaan,” katanya kepada Bernama.

Pada 15 Mei lepas, LBS dan Oriental Holdings Berhad memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjalinkan kerjasama dalam projek pembangunan industri bercampur di Melaka, melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM7 bilion.

Cadangan pembangunan itu meliputi kawasan seluas kira-kira 277 hektar dan bakal dilaksanakan dalam empat fasa dengan butiran khusus mengenai lokasi dan pecahan kawasan tanah akan dimuktamadkan menerusi Perjanjian Muktamad yang dipersetujui bersama oleh semua pihak terlibat.

Ad Banner

Lim berkata LBS kini memperluas portfolio pembangunan bercampur ke luar Lembah Klang, khususnya di wilayah selatan.

Beliau berkata Klebang antara kawasan yang memiliki potensi besar dari segi pembangunan masa depan, termasuk aspek infrastruktur, pelaburan dan komuniti.

“Kami melihat kawasan-kawasan itu mempunyai potensi tinggi untuk pertumbuhan jangka panjang. Ini sejajar dengan pelan strategik jangka panjang LBS bagi mengukuhkan kehadiran kami di wilayah berkenaan,” katanya.

Mengulas sama ada LBS kini memberikan tumpuan kepada pembangunan industri, Lim berkata penyediaan rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia kekal menjadi komitmen teras syarikat.

“Namun, pada masa sama, kami turut mengambil langkah meneroka pembangunan dalam sektor perindustrian dan komersial. Ini bukan soal beralih arah, sebaliknya memperluas keupayaan dan menyahut keperluan serta potensi pembangunan negara yang semakin berkembang,” katanya.

Lim berkata penglibatan dalam pembangunan industri dan komersial bukan sahaja mampu membantu pertumbuhan ekonomi negara, malah memastikan kelestarian syarikat dalam jangka panjang.

“Kami percaya keseimbangan antara pembangunan perumahan, industri, dan komersial akan mewujudkan ekosistem pembangunan yang lebih menyeluruh serta mampan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan