Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tindakan Tegas Terhadap Petugas Terlibat Salah Laku, Langgar Integriti - KP AADK  

15/07/2025 03:36 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan mengambil tindakan tegas terhadap petugas terlibat salah laku atau pelanggaran integriti.

Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh menerusi kenyataan hari ini menegaskan agensi itu tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana petugas terlibat.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu didapati bersalah selaras dengan peruntukan undang- undang dan tatakelakuan perkhidmatan yang berkuat kuasa,” katanya.

Ruslin berkata AADK sentiasa mengingatkan petugas supaya melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan berdasarkan Perintah Tetap Ketua Pengarah.

Berhubung laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) terhadap salah laku petugas AADK, Ruslin berkata pihaknya komited untuk terus menjalin kerjasama erat dengan EAIC dalam usaha memperkukuh tadbir urus baik di peringkat agensi. 

Semalam, media melaporkan pendedahan siasatan EAIC berhubung dua aduan membabitkan petugas AADK, termasuk kejadian pukul dan kecederaan terhadap seorang klien di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Pahang tahun lepas.

Selain itu, EAIC juga mendedahkan berlaku kecuaian dalam pengurusan tindakan susulan terhadap seorang individu disahkan positif dadah oleh pegawai AADK Selangor. 

EAIC memaklumkan pegawai terlibat gagal memastikan individu itu menandatangani Surat Perjanjian dan Jaminan selepas dibebaskan dengan jaminan mahkamah, sekali gus menyukarkan pelaksanaan tindakan susulan.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan