KOTA BHARU, 28 Julai (Bernama) -- Minat mendalam terhadap seni tradisional sejak kecil mendorong tiga beradik dari Kampung Chengal di sini untuk bergiat aktif dalam dikir barat sekali gus membantu memartabatkan warisan budaya Kelantan.
Bapa kepada tiga beradik itu Mohd Osman Mahamad, 39, berkata sejak kecil lagi anaknya Ahmad Afnan Khudri,17, Ahmad Rifqi Rafie,14, dan Ahmad Nawfal Iman,10, sudah berani berdepan dengan khalayak ramai ketika membuat persembahan dikir barat.
"Perkembangan bakat anak-anaknya menjadi lebih terserlah apabila mereka diperkenalkan kepada Poyie Gasi, seorang penggiat seni dikir barat yang membawa mereka ke pentas persembahan dan memperkenalkan mereka kepada masyarakat umum.
"Sejak itu, mereka makin aktif dan menerima banyak undangan untuk melakukan persembahan seperti pada majlis perkahwinan, sambutan hari jadi dan program anjuran jabatan kerajaan.
“Kami sebagai ibu bapa memang beri sokongan penuh, sebab ini minat mereka," katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Beliau berkata antara lagu yang sering didendangkan termasuk 'Ubi Lambung', 'Kelantan Bumi Bertuah', 'Segar Angin', dan 'Rindu Hatiku Rindu', malah lagu nyanyian Ziana Zain seperti 'Putus Terpaksa' kerap mendapat perhatian ramai apabila Ahmad Nawfal Iman menyanyikan semula lagu itu dengan gaya dan cara tersendiri.
Sementara itu, ibu mereka Anis Harnita Muhamad, 39, berkata dia bersyukur kerana anak-anaknya menggunakan masa lapang mereka dengan perkara berfaedah dan mampu memperkenalkan budaya negeri ke peringkat yang lebih luas.
"Alhamdulillah, orang ramai pun banyak yang menyokong, beri semangat. Kami harap mereka dapat pergi lebih jauh dan terus angkat martabat seni dikir barat, khususnya dalam kalangan generasi muda supaya warisan ini tidak ditelan zaman," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial