KOTA BHARU, 5 Ogos (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan yang akan berlangsung dari 7 hingga 9 Ogos ini menampilkan kelainan apabila diadakan bersempena sambutan Bulan Kebangsaan, dengan Stadium Sultan Muhammad IV yang dipilih sebagai lokasi utama dihiasi kibaran Jalur Gemilang.
Pengarah Bahagian Pembangunan Sosioekonomi, Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Dr Abdul Hazif Abdul Hamid berkata dari segi dekorasi dan pengisian program, PMR kali ini disuntik dengan elemen semangat cintakan negara dan perpaduan.
“Sudah tentu kita akan lihat Jalur Gemilang memenuhi ruang di pekarangan stadium, sekali gus menyemarakkan lagi suasana sambutan PMR 2025 di Kelantan.
“Program kali ini akan menampilkan lebih 100 perkhidmatan terpilih oleh pelbagai kementerian dan agensi sebagai kesinambungan PMR yang dimulakan sejak 2024, namun kini dilaksanakan mengikut negeri terpilih. Kelantan adalah lokasi kelima selepas Sabah, Terengganu, Kedah dan Negeri Sembilan,” katanya menerusi Facebook Bernama TV pada program ‘Apa Khabar Malaysia’ hari ini.
Abdul Hazif berkata walaupun PMR Kelantan berskala lebih kecil dengan sasaran 25,000 pengunjung, pihaknya menjangkakan sambutan melebihi jangkaan.
“Stadium Sultan Muhammad IV dipilih kerana aksesnya yang mudah dari pelbagai arah, lokasi ikonik rakyat Kelantan serta mempunyai kemudahan tempat letak kereta yang mencukupi,” katanya.
Beliau berkata antara pengisian utama ialah peluang pekerjaan khusus untuk golongan belia termasuk sesi temu duga secara langsung bagi lebih 800 jawatan yang ditawarkan oleh agensi dan syarikat terlibat.
“Ini peluang keemasan buat anak muda Kelantan hadir dan mendapatkan pekerjaan secara terus. Selain itu, pelbagai pameran teknologi, inovasi sains dan kecerdasan buatan (AI) turut dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) selaku peneraju PMR kali ini,” katanya.
Beliau berkata antara tarikan lain ialah program penukaran topi keledar secara percuma oleh Jabatan Pengangkutan Jalan, diskaun saman trafik oleh Polis Diraja Malaysia, Jualan Rahmah MADANI dengan potongan harga sehingga 30 peratus serta Festival Makanan Selera Timur yang menghimpunkan pelbagai hidangan tempatan.
Abdul Hazif turut memaklumkan pelbagai aktiviti komuniti dan pendidikan akan dilaksanakan sepanjang tiga hari program berlangsung, termasuk pameran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik, perkhidmatan kesihatan, konsultasi, bantuan keusahawanan dan geran perniagaan.
“PMR ini memberi peluang kepada rakyat untuk mengetahui hak mereka dan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan melalui penglibatan agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) atas kerjasama erat dalam penyediaan lokasi dan kelancaran logistik program.
Semalam, Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik MOSTI Dr Noraisah Spahat dilaporkan berkata lebih 120 perkhidmatan berkonsepkan touchpoint akan ditawarkan pelbagai kementerian dan agensi sepanjang PMR 2025 Kelantan.
Pada 2 Ogos, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin dilaporkan berkata sebanyak 25,000 pengunjung dijangka menghadiri Program PMR Negeri Kelantan, yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada 7 hingga 9 Ogos ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial