Ad Banner
 AM > BERITA

MRL Di Landasan Tepat Siapkan ECRL Fasa 1 Pada Disember 2026

07/08/2025 03:11 PM

PUTRAJAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) berada di landasan tepat untuk menyiapkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mengikut jadual, susulan kemajuan mencapai 86.07 peratus setakat Julai lepas.

Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi MRL Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata MRL yakin jajaran ECRL Fasa 1 dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dapat disiapkan menjelang Disember 2026 dan mula beroperasi pada Januari 2027.

Bagi jajaran ECRL Fasa 2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula, beliau berkata MRL yakin ia dapat disiapkan menjelang Disember 2027 untuk membolehkan infrastruktur nasional itu beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028.

“Insya-Allah, dengan izin-Nya, semua perancangan ini dapat direalisasikan, rakyat dan negara dapat manfaat atas kemudahan perjalanan dan limpahan ekonomi,” katanya pada Majlis Penyempurnaan Ekosistem Kewangan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) 360 Darjah RHB-MRL di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Pengerusi RHB Banking Group Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

MRL adalah pemilik projek ECRL manakala RHB pula antara institusi kewangan teras yang terlibat secara langsung dalam pembinaan itu.

Shamsul Azri berkata projek ECRL membabitkan jarak 665 kilometer (km) adalah satu contoh terbaik yang mendukung agenda ESG.

Ini adalah kerana pembinaan jajaran itu menetapkan pembinaan 41 terowong, laluan bertingkat sepanjang 154km dan 28 lintasan hidupan liar di lokasi strategik bagi mengurangkan penglibatan kawasan hutan simpan dan tadahan air serta meminimumkan kesan terhadap hidupan liar dan habitat di hutan.

“Tambahan pula, rangkaian 665km ECRL yang menerapkan landasan elektrik akan mengurangkan sejuta tan karbon dioksida (CO₂) setiap tahun apabila ia beroperasi pada Januari 2027,” katanya.

Shamsul Azri berkata selaras dengan komitmen MRL terhadap inisiatif kelestarian dan kemampanan, satu pencapaian bersejarah dicapai pada Februari 2024 apabila MRL menjadi syarikat pertama di bawah Kementerian Kewangan, serta satu-satunya projek infrastruktur pengangkutan yang dibiayai secara hijau.

Pada masa sama, beliau berkata MRL telah melancarkan Program Sukuk Mampan dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) iaitu inisiatif pembiayaan Islamik bernilai sehingga RM10.21 bilion.

“Pencapaian ini bukan sahaja mencatat sejarah sebagai Sukuk SDG pertama di Malaysia yang dijamin oleh kerajaan, malah turut menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh pembiayaan lestari bagi sektor pengangkutan ke arah mempercepat pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi serantau,” katanya.

Beliau berkata kejayaan Sukuk SDG MRL diiktiraf secara meluas di peringkat tempatan dan serantau dengan meraih pelbagai anugerah berprestij.

Ini menjadi bukti kepimpinan kerajaan dalam memacu infrastruktur mampan dan menetapkan penanda aras bagi projek-projek masa depan yang menyokong SDG.

Shamsul Azri berkata penerbitan Sukuk SDG itu akan memberi peluang kepada pelabur untuk mengambil bahagian dalam inisiatif yang bertujuan membiayai sebahagian daripada pembinaan projek ECRL.

Beliau berkata usaha itu berjaya meraih dana sebanyak RM7.40 bilion sehingga Julai 2025, bagi membiayai Projek ECRL yang merentasi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Shamsul Azri berkata kerjasama MRL dengan RHB menerusi Ekosistem Pembiayaan ESG 360 Darjah akan terus menyokong kemajuan MRL dalam inisiatif pembiayaan SDG.

Beliau berkata kerjasama itu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak memandangkan RHB adalah pelabur dalam program Sukuk SDG MRL.

“Hasil terbitan Sukuk dilaburkan semula oleh MRL dalam instrumen deposit yang mematuhi prinsip ESG bersama RHB, khususnya menerusi deposit tetap di bawah Program Deposit ESG RHB.

“Inisiatif perintis ini, yang pertama seumpamanya di Malaysia ini bertujuan mewujudkan rangka kerja kewangan ESG yang lestari dan bersepadu dengan menghubungkan aktiviti pelaburan dan deposit yang sejajar dengan ESG antara MRL dan RHB,” katanya.

Justeru, Shamsul Azri berkata kerjasama RHB-MRL menerusi Ekosistem Pembiayaan ESG 360 Darjah akan melengkapkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam kewangan Islam mampan, serta berfungsi sebagai pelan induk bagi mengintegrasikan prinsip kemampanan dalam pembiayaan infrastruktur berskala besar.

Beliau berkata isu perubahan iklim, jurang sosial dan keperluan kepada tadbir urus yang telus bukan lagi cabaran yang harus dilengahkan, justeru agenda ESG kini menjadi keperluan teras dalam operasi perniagaan dan memerlukan tindakan menyeluruh, bersifat strategik dan kolaboratif.

Shamsul Azri berkata MRL sebagai anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) memikul tanggungjawab besar dalam memastikan pembangunan infrastruktur mega negara berjalan seiring dengan prinsip-prinsip kelestarian dan tadbir urus yang baik.

“Selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan mampan dan seimbang, MRL sebagai pemilik projek ECRL amat menitikberatkan aspek kelestarian dan alam sekitar dalam pelaksanaan projek infrastruktur nasional ini,” katanya.

-- BERNAMA 


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan