BERITA TERGEMPAR   Coordination of aid for Pantai Dalam fire victims, meeting sessions with victims and shop operators to be arranged – Fahmi | 
Ad Banner
 AM > BERITA

Membesar Di Malaysia Yang Bersatu

08/08/2025 10:38 AM

Oleh M. Govind Nair

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Pada satu hari dalam setiap minggu, RTM akan menayangkan filem Tamil di televisyen.

Hampir kesemua 30 buah rumah di kawasan kecil berbentuk U di kuarters JKR, Jalan Connolly (kini Jalan Tun Perak) di Ipoh, kehidupan penghuninya menjadi agak sibuk daripada biasa menjelang malam.

Penduduk berbilang kaum di kuarters itu bersedia untuk menonton "tayangan" mingguan mereka di satu daripada dua buah rumah yang memiliki set televisyen.

Malah, pada hujung 60-an, selepas televisyen diperkenalkan di Malaysia pada Disember 1963, hanya beberapa buah rumah yang mampu memiliki kemewahan sebegitu. Maka, apabila RTM menayangkan filem – terutamanya filem Tamil – suasananya umpama pesta.

Sebuah rumah milik keluarga Cina, dan sebuah lagi didiami keluarga India, dan kedua-duanya membuka pintu kepada semua tetangga.

Kanak-kanak memenuhi ruang depan televisyen, duduk bersila di atas lantai. Yang dewasa pula mengambil tempat di mana sahaja yang boleh – di atas kerusi, di atas lantai, ataupun di tingkap yang terbuka di kuarters satu bilik yang sempit itu.

Sebaik sahaja filem hitam putih dimainkan, penonton India dengan nada perlahan akan menterjemahkan dialog untuk jiran berbangsa Melayu dan Cina. Ada juga yang sentiasa membawa makanan ringan, dan mereka akan berkongsi, sama seperti ceritera dan gelak ketawa.

Kisah ini hanyalah satu daripada sisi kehidupan ketika saya membesar pada 60-an dan 70-an – suasana yang perpaduan dalam kepelbagaian itu bukan hanya dilihat, tetapi amat dirasai.

Ada lagi kenangan lain. Kami bermain bersama-sama – gasing, layang-layang, "polis sentri" (polis dan pencuri), bola sepak dan badminton. Kami berkongsi juadah tradisional semasa musim perayaan. Kami saling menolong ketika majlis perkahwinan dan upacara pengebumian. Bangsa dan agama hanyalah sebahagian daripada diri kami, bukanlah alasan untuk berpecah belah.

Satu memori yang kekal segar dalam ingatan – pagi 14 Mei 1969 – sehari selepas rusuhan kaum tercetus di Kuala Lumpur.

Perintah berkurung telah dikuatkuasakan di Ipoh. Penduduk di kuarters JKR – Melayu, Cina, India – berkumpul di tengah-tengah kawasan itu, perlahan-lahan cuba memahami berita dari ibu negara itu. Keganasan kaum? Perkara itu di luar imaginasi kami. Orang ramai hanya bersurai apabila kereta peronda polis lalu di situ, memberikan amaran supaya semua kekal berada di dalam rumah.

Hari ini, kuarters berkenaan sudah tiada. Kawasan yang dahulunya dipenuhi dengan kehidupan dan tawa, kini yang tinggal hanyalah konkrit yang retak dan pecah serta semak samun.

Namun, banyak bekas penduduk masih ada, kini membesarkan cucu dan cicit. Mereka mungkin meninggalkan kuarters yang disayangi itu, tetapi mereka membawa ingatan zaman silam yang hidup dalam suasana penuh harmoni dan saling menghormati, membantu membentuk semangat negara.

Di setiap pelosok Malaysia, kisah sebenar negara ini selalunya tentang perjuangan bersama, harapan kolektif dan tindakan bersatu padu.

Itulah sebabnya saban tahun, tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia mengangkat mesej yang sama, iaitu Malaysia menjadi kuat apabila rakyatnya diletakkan di tengah-tengah naratif negara.

Tema tahun ini – "Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni" – mengulangi komitmen berkenaan, memerlukan masyarakat yang bukan sahaja dipandu oleh pembangunan, tetapi juga oleh belas kasihan, keterangkuman dan maruah.

Diperkenalkan oleh kerajaan, kerangka MADANI merangkumi enam nilai teras utama, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan. Pada terasnya terletak kepercayaan bahawa perpaduan adalah penting, bukan sahaja untuk keharmonian, tetapi juga untuk setiap rakyat berkembang maju.

Pada 2025, ketika kita berdepan cabaran baharu dan kompleks, "Rakyat Disantuni" mengingatkan kita bahawa kemajuan mestilah berpaksikan rakyat. Melangkaui dasar dan infrastruktur, yang penting sama ada rakyat – guru di Sabah, nelayan di Terengganu, golongan miskin bandar di Kuala Lumpur – berasa dilihat, didengari, dan disokong. Kesejahteraan mereka ialah ukuran sebenar kejayaan negara kita.

Maka, marilah kita sama-sama renungkan makna "disantuni" yang lebih mendalam. Frasa itu bukan sekadar tentang bantuan, tetapi tentang empati, hormat, dan penjagaan, mengingatkan kita bahawa patriotisme sebenar bukanlah lantang atau bermegah-megah, tetapi semangat yang penuh dengan rendah hati, inklusif dan berakar umbi pada kebaikan.

Dalam dunia yang sering berasa berpecah belah, Malaysia perlu berpegang kejap pada kekuatannya – keupayaan kita untuk hidup, bekerja, dan bermimpi bersama-sama, walaupun berbeza. Kekuatan ini tidak terletak pada sesuatu kumpulan atau pemimpin, tetapi dalam diri kita semua.

Ketika kita mengibarkan Jalur Gemilang pada Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, ingatlah bahawa masa depan Malaysia tidak akan dibina dengan slogan semata-mata, tetapi dengan cara kita melayani antara satu sama lain.

Hal ini kerana, di tengah-tengah gagasan Malaysia MADANI, tersimpan kebenaran abadi – rakyat bukanlah khalayak yang perlu diberi perhatian, tetapi sebuah keluarga yang perlu disantuni.

-- BERNAMA

 

* M. Govind Nair ialah Editor Projek Khas di BERNAMA.

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan