Ad Banner
 AM > BERITA

Bukan Sekadar Slogan, Rukun Negara Asas Kukuh Bina Negara Bersatu Dan Harmoni

08/08/2025 09:36 AM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Rukun Negara kekal sebagai tunjang penting dalam membentuk masyarakat Malaysia yang bersatu, harmoni dan berpegang kepada nilai sejagat, khususnya dalam kalangan generasi muda yang bakal meneruskan kesinambungan kepimpinan negara.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Zulkifli Hashim berkata lima prinsip Rukun Negara bukan sekadar slogan atau hafalan upacara rasmi, sebaliknya merupakan asas kepada kestabilan dan kemakmuran negara.

“Rukun Negara masih relevan. Kalau kita mahu membina negara yang bersatu dan makmur, kita mesti ada asas yang sama dan asas itu ialah Rukun Negara. Lima prinsip ini bukan sekadar untuk dilafaz, tetapi mesti dihayati dan diamalkan oleh setiap rakyat Malaysia dalam kehidupan seharian,” katanya semasa menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Zulkifli berkata selepas tragedi 13 Mei 1969 yang menjadi detik hitam dalam sejarah negara, Rukun Negara digubal sebagai satu bentuk muafakat nasional untuk menyatukan rakyat dan mencegah perpecahan antara kaum.

Beliau turut menekankan keperluan memperkasakan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan generasi muda menerusi pelbagai pendekatan, termasuk pendidikan, program komuniti dan kempen awam.

Menurut Zulkifli, JPNIN kini giat melaksanakan inisiatif seperti Kelab Rukun Negara di sekolah dan institusi pengajian tinggi, program Sekolah Rukun Negara, serta modul khas dalam kurikulum untuk memberikan kefahaman mendalam tentang maksud di sebalik setiap prinsip.

“Kita tidak mahu generasi muda sekadar tahu menyebut prinsip-prinsip itu. Mereka mesti faham bahawa ‘Kesetiaan kepada Raja dan Negara’ misalnya, bukan hanya mengenai institusi diraja, tetapi turut meliputi rasa tanggungjawab kepada tanah air, menghormati undang-undang, dan menolak unsur yang boleh merosakkan negara.

“Prinsip ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ pula bukan hanya adab semasa bercakap, tetapi mencakupi etika di media sosial, menghormati pandangan orang lain, dan menolak budaya kebencian yang boleh menjejaskan perpaduan,” katanya. 

Beliau turut mengingatkan bahawa tanggungjawab memelihara perpaduan bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu disokong oleh seluruh lapisan masyarakat termasuk pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin komuniti, dan golongan pempengaruh di media sosial.

Dalam pada itu, Zulkifli turut mengiktiraf peranan besar media dalam menyampaikan mesej perpaduan secara berkesan, sekali gus menjadi jambatan antara dasar kerajaan dengan rakyat.

“Media bukan sekadar menyampaikan maklumat. Media juga ialah pemangkin kepada perpaduan. Jika media memberikan ruang kepada suara-suara yang membina, yang menyatukan rakyat, kita akan lihat kesannya kepada masyarakat,” kata beliau.

Kementerian Perpaduan Negara sedang menjalankan Kempen Taat Setia Rukun Negara yang bermula dari 1 Ogos lepas hingga 16 Sept ini bersempena dengan ulang tahun pengisytiharan ke-55 Rukun Negara tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan