DUNIA > BERITA

Mozambique Harapkan Kerjasama Pertanian Lebih Erat Dengan China - Presiden

18/08/2025 03:07 PM

MAPUTO, 18 Ogos (Bernama-CMG) -- Tahun ini cukup signifikan kerana ia menandakan ulang tahun ke-50 kemerdekaan Mozambique serta ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Mozambique-China.

Rakyat kedua-dua negara juga telah lama memupuk hubungan yang erat seperti saudara, kata Presiden Mozambique Daniel Francisco Chapo ketika diwawancara wartawan Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.

"Pada masa ini, kita melihat hubungan dua hala kekal berada pada tahap tinggi, terus diperkukuh dan berkembang maju," katanya.

Chapo berkata bahawa antara cabaran utama yang dihadapi Mozambique pada masa kini ialah keterjaminan makanan.

Negaranya yang kaya dengan sumber air dan tanah pertanian mempunyai potensi besar untuk meningkatkan pengeluaran makanan.

Terdapat banyak pelaburan dari China di Mozambique termasuk di wilayah Gaza, dengan sebuah syarikat milik China mengusahakan pengeluaran beras berkualiti tinggi yang kini menembusi pasaran antarabangsa, kata beliau.

"Mozambique mempunyai hasil laut terbaik di dunia. Kami memiliki makanan laut yang paling berkualiti, di samping beras bermutu tinggi.

“Kerjasama dalam bidang bijirin ini boleh membantu mengeratkan hubungan dengan China, yang sudi menawarkan teknologi dan pengetahuan untuk dikongsi bersama kami.

“Susulan pelaksanaan program pemindahan teknologi serta peningkatan literasi kemahiran, kami berjaya meningkatkan pengeluaran dan produktiviti padi dengan ketara.

"China wujud sebagai peneraju dalam bidang teknologi pertanian di peringkat global dan juga penggubal kriteria yang berwibawa di arena antarabangsa,” katanya.

Chapo berkata di Mozambique, majoriti penduduk masih menetap di kawasan luar bandar yang potensi pertanian amat besar tetapi kekurangan teknologi pengeluaran moden.

"Kami berhasrat untuk menjalin kerjasama yang lebih erat dalam bidang pertanian, sekali gus membuka lembaran baharu dan memperkukuh lagi persahabatan dengan China," kata Presiden itu.

Ketika diminta mengulas mengenai konsep pembangunan hijau Presiden China Xi Jinping yang berteraskan “air jernih dan gunung hijau sama seperti gunung emas dan gunung perak”, Chapo mengucapkan tahniah atas kejayaan pelaksanaan konsep ini di China.

"Saya menyokong sepenuhnya konsep ini, dan yakin bahawa konsep ini akan terus wujud sebagai cahaya yang menerangi kemaraan kita ke hadapan.

“Pelbagai negara di dunia patut mengamalkan konsep ini yang menekankan pemeliharaan ekologi alam dengan sebaik-baiknya," katanya.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan