Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPWKM Komited Tangani Isu Keganasan Terhadap Lelaki

03/09/2025 02:59 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memberikan jaminan untuk terus memperkukuh langkah menangani isu keganasan terhadap lelaki termasuk penderaan fizikal, emosi dan seksual, yang diakui semakin ketara, namun masih kurang dilaporkan.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pihak kementerian mengambil maklum bahawa lelaki juga berisiko menjadi mangsa keganasan dan berhak mendapat perlindungan serta sokongan sewajarnya.

“Kementerian memang sangat prihatin dengan isu keganasan terhadap lelaki walaupun sebenarnya kurang dilaporkan. Ada dua statistik berbeza yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ad Banner

“Terdapat perbezaan (dalam dua statistik itu), tetapi bagi kami lelaki juga berisiko menjadi mangsa keganasan dan berhak untuk mendapat perlindungan dan juga sokongan,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Nelson Angang di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata bagi kes keganasan rumah tangga, siasatan akan dijalankan oleh JKM berdasarkan peruntukan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 yang terpakai kepada semua mangsa tanpa mengira jantina.

Noraini berkata kerajaan juga berusaha mengubah persepsi bahawa lelaki tidak memerlukan bantuan, sekali gus memastikan semua mangsa mendapat perlindungan dan masyarakat bebas daripada sebarang bentuk keganasan.

Sementara itu, menjawab soalan Senator Rita Sarimah Patrick Insol berhubung stigma masyarakat terhadap lelaki yang memilih menjadi pengurus rumah tangga, Noraini berkata kerajaan menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melaksanakan pelbagai program kesedaran untuk mempromosikan konsep perkongsian tanggungjawab dalam rumah tangga.

“Kita ada LPPKN, di bawah LPPKN, kita kenalkan program pembangunan keluarga … modul adalah mengenai Parenting at Work yang memberikan latihan kepada pasangan suami isteri mengenai perkongsian tanggungjawab penjagaan anak dan pengurusan rumah," katanya.

Beliau berkata modul itu juga menampilkan lelaki sebagai rakan kongsi utama dalam kerja rumah dan penjagaan anak yang diharap dapat mengurangkan stigma terhadap lelaki yang memilih untuk mengurus rumah tangga sepenuh masa.

Selain itu, KPWKM turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melaksanakan kempen kesedaran masyarakat mengenai konsep perkongsian tanggungjawab ibu bapa serta menyediakan sokongan psikososial melalui talian 15999, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan